Kakitangan awam diingatkan supaya menjaga rahsia kerajaan dan tidak membocorkannya kepada pihak luar dengan sewenang-wenangnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, biarpun undang-undang seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA) wujud, bagi mengekang perkara terbabit berlaku, namun penguatkuasaan yang sebenar perlu dilakukan di peringkat setiap individu itu sendiri.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kenyataannya itu bukanlah sebagai amaran, sebaliknya satu peringatan kepada penjawat awam khususnya ketika bulan Ramadan ini.

"Undang-undang tetap ada iaitu undang-undang Akta Rahsia Rasmi (OSA), tetapi ia hanya undang-undang sebagaimana puasa ada 'undang-undang' tetapi penguatkuasanya yang sebenar adalah diri kita sendiri.

"Undang-undang yang ada sebagai panduan tetapi kita lakukan "self-impose" atau "self-enforce" ertinya kita tidak perlu undang-undang tetapi latihan dibuat dalam bulan puasa dapat dilanjutkan pada bulan-bulan yang lain," katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Timbalan Perdana Menteri bersama Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Dalam Negeri di Sri Satria di sini.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 100 anak yatim dan fakir miskin dari Tahfiz Al-Taqwa dan Rumah Kasih Harmoni, Sungai Buloh.