Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kecewa kerana usaha kerajaan menjaga kebajikan rakyat tidak dihargai.

Katanya, ini kerana rakyat terpengaruh dengan usaha pihak-pihak tertentu menanam kebencian terhadap kerajaan.

"Mereka (pembangkang) memberi pendapat antagonistik di media sosial termasuk gerakan perang saraf yang mahu menerjah kekukuhan yang sedia ada.

“Pada hemat saya kejayaan itu sukar untuk dicapai tetapi apabila kejayaan itu telah terbina, maka lebih sukar lagi untuk mempertahankan kejayaan itu," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Padu Rakyat Dungun, di sini pada Sabtu.

Ujar Ahmad Zahid yang juga naib presiden UMNO, kempen menanamkan kebencian kepada kerajaan secara berterusan sedikit sebanyak berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat.

“Ada wakil yang bukan hanya pulang seminggu sekali, tetapi duduk di kawasan memberikan perkhidmatan setiap hari... tetapi masih ditolak kerana mungkin ada di kalangan yang terpengaruh dengan penanaman rasa kebencian itu,” katanya.

Sehubungan itu, pemimpin UMNO disaran menggunakan pendekatan merakyatkan perkhidmatan di kawasan masing masing.

Jelas beliau, pemimpin parti perlu mengubah cara pemikiran mereka dengan menggunakan teknik menguasai jiwa serta minda rakyat.

Menurut Ahmad Zahid, cara ini ialah supaya mereka tahu dan berterima kasih atas apa yang telah kerajaan lakukan.

Ianya juga bertujuan untuk mengelak masyarakat daripada terjebak dengan isu yang boleh dimanipulasi oleh pihak pembangkang.

Selain itu, beliau turut mengingatkan supaya tiada lagi budaya 'cah keting' di kalangan mereka yang mementingkan kuasa.