KUALA LUMPUR:Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin hari ini telah disahkan positif COVID-19.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya, Ahli Parlimen Padang Besar itu telah menjalani ujian saringan sejurus tiba di Kuala Lumpur dari Pulau Pinang pada 11 Januari lepas.

“Beliau telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh, Selangor, untuk menjalani rawatan lanjut mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Terdahulu pada 25 Disember tahun lepas, beliau telah menjalani ujian saringan COVID-19, dan keputusannya ialah negatif,” menurut kenyataan itu lagi.

Zahidi, yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, kini berada dalam keadaan stabil, dan memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba semalam berkata, pesakit COVID-19 tahap satu dan dua atau tidak bergejala, menjalani rawatan serta kuarantin di rumah, dengan pemantauan ketat oleh petugas kesihatan.

BACA: Hamzah Zainudin positif COVID-19

BACA: Rina Harun positif COVID-19

BACA: Mustapa Mohamed positif COVID-19

BACA: Semua menteri Kabinet jalani ujian saringan COVID-19, tiga positif


Ujarnya lagi, pasukan khas telah diwujudkan di peringkat Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis, CPRC, peringkat negeri dan daerah bagi memantau pesakit yang dirawat di rumah.

Bagaimanapun, pesakit yang bergejala akan dirawat di hospital serta menjalani proses pemantauan seperti biasa.

Sebelum ini tiga Menteri dilaporkan positif COVID-19, iaitu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.