Bukan hanya menjadi pemain bola sepak Pahang, malah dipilih sebagai jurulatih skuad Tok Gajah itu menjadikan Zainal Abidin Hassan antara individu yang sering didekati Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah.

Zainal akui, Yang Di-Pertuan Agong Ke-16 itu amat meminati sukan bola sepak apabila meletakkan harapan yang begitu tinggi bukan sahaja kepada skuad negeri baginda, malah kepada pasukan kebangsaan.

“Menerusi sukan bola sepak, Tuanku banyak menjayakan bola sepak tanah air, baik di Pahang mahupun kebangsaan.

“Tuanku juga telah melaksanakan liga semi pro dan liga profesional. Jadi jasa Tuanku terlalu banyak bagi bola sepak Pahang dan negara ini,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Katanya lagi, antara mesej dan pesanan Sultan Abdullah yang paling diingati beliau adalah berkenaan penyatuan keluarga bola sepak selain mahu skuad kebangsaan lebih mencipta kejayaan pada masa akan datang.

“Tuanku memang mempunyai hasrat yang cukup besar. Kami ini ibarat keluarga bola sepak.

“Apabila seorang tokoh sukan Malaysia yang berada di peringkat antarabangsa dunia iaitu memegang jawatan tertinggi di FIFA, itu satu kebanggan kapada kami rakyat Malaysia.

BACA: Sultan Pahang sah YDP Agong baharu

“Hasrat Tuanku pastinya ingin melihat Malaysia beraksi di Piala Dunia FIFA, insyaAllah,” katanya lagi.

Zainal terharu apabila Al-Sultan Abdullah sudi mencemar duli hadir pada majlis perkahwinan beliau pada tahun 1985. - Foto Zainal Abidin Hassan

Menyifatkan baginda sebagai Sultan yang amat dekat dengan rakyat, Zainal cukup terharu apabila baginda sudi mencemar duli hadir pada majlis perkahwinan beliau pada tahun 1985.

“Alhamdulillah, saya amat terkejut sekali keberangkatan Tuanku, sewaktu itu saya beraksi untuk Pahang, Tuanku berangkat datang untuk meraikan perkahwinan saya di Kampung Baru,” jelasnya.

Beliau pada masa sama turut merafak sembah dan mengucapkan tahniah kepada Sultan Pahang itu apabila dilantik sebagai Yang Di-Pertuan Agong Ke-16.