Lembaga Zakat Selangor (LZS) menafikan badan itu akan mula menyediakan peruntukan zakat untuk golongan bukan Muslim, seperti mana yang tular di media sosial baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, Ketua Pegawai Penyelarasnya Abdul Basith Hamid berkata, pengagihan zakat di Selangor hanya untuk umat Islam sahaja sebagaimana tertakluk kepada hukum syarak.

“Berhubung kenyataan yang tersebar baru-baru ini, berkenaan “Motto: Manfaat Zakat Untuk Semua”, terdapat kekeliruan mengenai perkara ini. Bagi tahun 2019, LZS telah mengubah motto lama iaitu “Meneraju Perubahan” kepada motto baru iaitu “Manfaat Zakat Untuk Semua”.

“Motto ini membawa maksud yang sangat luas. Ia menggambarkan bahawa ibadah zakat walaupun hanya dikhususkan kepada umat Islam tetapi manfaatnya dinikmati oleh semua ahli masyarakat dalam kitaran ekonomi dan sosial. Ini selaras dengan peranan zakat yang mensucikan dan menyuburkan,” jelas beliau lagi.

Abdul Basith berkata, sekiranya taraf kehidupan asnaf dipertingkatkan, ia secara tidak langsung akan meningkatkan taraf sesebuah negeri atau negara.

“Dengan maju dan makmurnya sesebuah negeri atau negara, akan bermanfaatlah setiap rakyat di dalamnya tanpa mengira bangsa atau agama,” katanya lagi.

Abdul Basith berkata, LZS tidak ada kaitan dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk parti politik dan akan terus menyantuni asnaf di Selangor bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka.

“LZS juga sentiasa mematuhi Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 dan Peraturan-Peraturan Zakat Dan Fitrah (Negeri Selangor) 2012 dalam melaksanakan operasi agihan dan kutipan zakat di Negeri Selangor.

“Agihan dan kutipan zakat di negeri Selangor sentiasa mengikut hukum syarak dan ia dipantau rapi oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta dikawal selia oleh jawatankuasa yang dilantik termasuk Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor,” katanya lagi.