Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memantau secara rapat aktiviti harian penceramah bebas, Dr Zakir Naik di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata perkara itu bagi memastikan beliau bebas konflik serta tiada isu yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta keselamatan negara.

Malah tegasnya, PDRM juga tidak boleh melakukan proses ekstradisi ke atas penceramah bebas itu kerana tiada permohonan rasmi daripada kerajaan India.

"Untuk makluman, kita tiada menerima apa-apa permohonan ekstradisi secara rasmi. Macam mana kita mahu mengambil tindakan ekstradisi jika tiada permohonan dibuat.

"Apa yang PDRM lakukan sekarang adalah kita memantau secara rapat aktiviti harian beliau (Zakir). Kita pantau jika pergerakan beliau boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara," katanya.

Beliau berkata dalam sidang media selepas membuat lawatan kerja ke Unit Tindakan Khas (UTK) di Lapang Sasar, Bridged tengah Cheras di sini.

Mohamad Fuzi turut mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan rakyat baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan PDRM akan mengambil tindakan ke atas penceramah bebas itu jika Zakir didapati mempunyai niat untuk mempromosikan aktiviti keganasan di negara ini.