Penceramah bebas, Dr Zakir Naik keluar dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman jam 8.15 malam selepas selesai memberi keterangan berhubung kenyataan kontroversi didakwa boleh mengancam keamanan negara.

Beliau yang juga pemegang taraf penduduk tetap itu dilihat menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova berwarna gelap selepas kira-kira lima jam memberi keterangan kepada pegawai Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Bukit Aman.

Dr Zakir berpakaian cerah serta berkopiah putih kelihatan duduk di bahagian penumpang belakang.

Sebelum ini, penceramah bebas itu didakwa memberikan kenyataan kontroversi terhadap kaum Cina di negara ini sebagai kenyataan balas kepada pihak yang mengarahkannya supaya keluar dari Malaysia.

Susulan itu, polis menerima 115 laporan berkaitan Dr Zakir dan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Namun, pada Rabu lalu, Dr Zakir dalam satu kenyataan media mendakwa ceramahnya disalah tafsir dan sengaja diputar belit pihak tertentu.

Katanya, pengkritik memetik kenyataannya itu di luar konteks dengan tujuan mempolitikkan isu terbabit dan berniat jahat.