Zaman ketika mana setiap negara memiliki sebuah syarikat penerbangan nasional telah berlalu, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata Malaysia masih boleh memiliki syarikat penerbangan nasional tetapi ia tidak semestinya dimiliki oleh kerajaan.

"Sekarang anda boleh mempunyai beberapa syarikat penerbangan. Salah satu daripada mereka boleh dikenali sebagai syarikat penerbangan nasional kerana ia membawa simbol (negara) tetapi ia boleh dikendalikan oleh sektor swasta," katanya dalam satu artikel yang disiarkan dalam "Going Places", majalah penerbangan Malaysia Airlines.

Beliau menjawab soalan mengenai sama ada masih ada nilai untuk memiliki sebuah syarikat penerbangan nasional selain daripada semangat patriotisme atau kebanggaan.

Malaysia Airlines yang bermasalah dilaporkan sedang mengkaji beberapa pilihan untuk mengatasi kerugian dalam industri penerbangan yang kompetitif.

Kepada satu soalan, Dr Mahathir menarik perhatian bahawa beliau sentiasa terbang dengan Malaysia Airlines pada masa itu dan menikmati makanan yang dihidangkan dalam penerbangan.

"Makanan yang dihidangkan memang baik, dan sudah tentu, sebagai Perdana Menteri, saya dapat duduk di Kelas Pertama," katanya.

Mengenai soal pelancongan di Malaysia, beliau berpendapat bahawa terdapat terlalu banyak prosedur birokrasi dalam sektor ini dan ia perlu dikurangkan.

Beliau berkata dalam beberapa kes, rakyat Malaysia nampaknya tidak begitu mesra.

"Kami mendapati bahawa di sesetengah negara, rakyatnya sentiasa tersenyum, mereka amat mengalu-alukan pelancong, tetapi kadang-kala, rakyat Malaysia tidak bersikap sedemikian," katanya.

Mengenai perkara lain, Dr Mahathir menegaskan bahawa industri yang dapat menjana pendapatan yang lebih baik adalah teknologi maklumat (IT) dan sektor teknologi baharu di mana rakyat Malaysia perlu menyesuaikan diri dan berupaya untuk berkhidmat di sektor-sektor ini.

Beliau menegaskan bahawa syarikat tempatan kini mempunyai keupayaan untuk menghasilkan cip mikro yang kebanyakannya dihasilkan oleh syarikat asing sebelum ini.

"Kami mahu memasuki AI (artificial intelligence), tetapi ia akan mengambil sedikit masa untuk menjadi kenyataan," katanya.

Perdana Menteri juga berkata terdapat banyak cadangan pelaburan tetapi kerajaan perlu menyediakan tenaga kerja yang diperlukan.

Beliau juga berkata ada pelaburan yang sangat besar di Malaysia, berjumlah hingga kira-kira RM30 bilion (AS$ 7.3 bilion) setahun.

"Tetapi entah kenapa, ia tidak dilaporkan (dalam media)," katanya. -- Bernama