Aktiviti ziarah pusara di semua tanah perkuburan Islam seluruh negeri Sarawak dibenarkan semasa dan selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan garis panduan yang ditetapkan.

Bahagian Kemajuan Institusi Masjid, Jabatan Agama Islam Sarawak dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan garis panduan yang dikeluarkan ini selaras ketetapan Majlis Islam Sarawak (MIS).

Garis panduan itu berkuat kuasa bermula Isnin (15 Jun) sehingga satu tarikh yang akan diputuskan nanti.

Sepanjang aktiviti ziarah, mana-mana individu yang hadir hendaklah membuat kawalan kendiri. Antaranya menjaga penjarakan sosial (satu meter), menggunakan pelitup muka, sentiasa mencuci tangan dan tidak bersalaman semasa berada tapak pusara.

Ziarah di satu pusara hendaklah tidak melebihi lima waris atau keluarga terdekat sahaja, dan disaran membuat penggiliran sekiranya lebih daripada lima orang.

Selain tu, tempoh ziarah satu pusara hendaklah tidak lebihi 20 minit.

Sekiranya keadaan tapak pusara terlalu sesak dan penjarakan sosial tidak dapat dipatuhi, mereka yang baharu tiba disarankan menunggu.

Tanah pusara boleh dibuka untuk aktiviti ziarah bermula7 pagi hingga 5 petang kecuali untuk urusan pengebumian jenazah dan urusan berkaitan seperti kebersihan, penyelenggaraan dan pemasangan nisan dan napor.

Sekiranya ada mana-mana individu gagal mematuhi arahan ini pihak MIS boleh mengambil tindakan undang-undang.

MIS juga boleh mengubah atau meminda garis panduan ini dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan.