Tutup

Zoo Johor berusia 36 tahun kini berwajah baharu

Zoo Johor berusia 36 tahun kini berwajah baharu
Sebahagian kakitangan KPRJ mengikis cat lama pada tembok Zoo Johor sebelum mengecat semula menerusi program tanggungjawab sosial korporat KPRJ-HOPE iaitu Zooventure di Zoo Negeri Johor pada Rabu. - Bernama
JOHOR BAHRU: Zoo Johor pada Rabu "berwajah baharu" selepas sekumpulan sukarelawan menggembleng tenaga untuk mengecat semula pagar dan tembok di sekitar kawasan zoo itu terletak di Jalan Gertak Merah, dekat sini.

Menerusi Program Zooventure, seramai 60 kakitangan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) bergotong-royong mengindahkan zoo berkenaan yang merupakan antara zoo tertua di Malaysia berusia 36 tahun itu.
Seorang sukarelawan, Nur Izzati Mazlan berkata perasaan tanggungjawabnya itu muncul setelah melihat sendiri keadaan di zoo berkenaan yang dilihat perlu diberi wajah baru dan ditambah baik terutama dari segi fasiliti.

"Program seumpama ini perlu diteruskan, supaya dapat menjadi contoh kepada pihak-pihak lain untuk membantu membangunkan lagi zoo ini terutama dalam menambah baik fasiliti, tandas dan juga penjagaan haiwan," katanya kepada Bernama, di sini pada Rabu.
Sebahagian daripada kakitangan KPRJ mengecat semula tembok di dalam ruang legar Zoo Johor. - Bernama

Sementara itu, Pengurus Besar Kewangan KPRJ, Khairudin Hasan berkata program berkenaan dilihat sebagai timbal balik yang mampu memberi sumbangan dan khidmat bakti kepada masyarakat.

Ketua Eksekutif KPRJ Norazam Osman pula berkata program Zooventure di bawah KPRJ-HOPE itu merupakan salah satu usaha tanggungjawab sosial korporat yang dijalankan dengan kerjasama syarikat Nippon Paint (M) Sdn Bhd yang turut memberi tajaan.

Katanya, KPRJ juga akan terus menyumbang dalam pembangunan mampan komuniti sekitar dan menjadikan ia sebagai pendekatan utama terutama program yang melibatkan persekitaran dan masyarakat.

Zoo Johor yang dibuka pada 1982 kini menempatkan lebih 100 spesies haiwan termasuk beberapa spesies haiwan terancam.

-- BERNAMA