Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin tiba di sini pada Rabu, untuk lawatan kerja dua hari ke Sarawak - yang pertama oleh seorang menteri Persekutuan Pakatan Harapan (PH), selepas parti itu menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Ketibaan Zuraida disambut Naib Pengerusi PKR Sarawak, See Chee How, Anggota Parlimen Saratok Ali Biju dan Anggota Parlimen Miri Dr Michael Teo Yu Keng bersama hampir 100 penyokong parti itu.

Anggota Parlimen Ampang itu berkata, beliau bersyukur kerana dibenarkan kerajaan Sarawak untuk memasuki negeri ini selepas beberapa kali disekat.

Katanya, kali terakhir beliau dibenarkan masuk ke Sarawak ialah ketika hadir memberi penghormatan terakhir kepada Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia Januari, tahun lalu.

BACA: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem meninggal dunia

"Rasa terkejut dengan sambutan diterima, mereka pun sudah lama tunggu saya masuk ke Sarawak. Kemasukan saya kali ini sebagai menteri, kita ada tugas dan insyaAllah akan dapat membantu rakyat Sarawak," katanya.

Zuraida bercakap kepada pemberita setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini kira-kira 7.35 malam Rabu.

Hari ini, menteri itu mempunyai jadual lawatan kerja padat bermula dengan kunjungan hormat kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian kira-kira 9.45 pagi.

Beliau kemudian melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebelum mengadakan lawatan kerja ke Majlis Perbandaran Padawan.

Pada sebelah petang, Zuraida dijadual melawat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Tengah dan mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak sebelum bertolak pulang ke Kuala Lumpur pada sebelah malam.

-- BERNAMA