Kumpulan pertama jenazah mangsa nahas pesawat penerbangan MH17 selamat tiba di tanah air hampir 40 hari selepas insiden yang mencampakkan negara ke dalam tragedi berganda melibatkan syarikat penerbangan Malaysia Airlines.

Jalur Gemilang di seluruh negara dikibarkan separuh tiang bagi mengenang semua 298 penumpang dan anak kapal, khususnya 43 anak watan, yang menaiki pesawat malang yang terhempas selepas ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai.

Kumpulan pertama ini melibatkan 20 jenazah penumpang dan anak kapal yang telah dikenal pasti identiti mereka serta mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa Belanda untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Anggota Rejimen Askar Melayu DiRaja mengusung keranda mangsa nahas pesawat ketika Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 berlangsung di KLIA. -AWANI / SHAHIR OMAR
Anggota Rejimen Askar Melayu DiRaja mengusung keranda mangsa nahas pesawat ketika Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 berlangsung di KLIA. - Astro AWANI / Shahir Omar

Istiadat penghormatan jenazah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur disertai oleh Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak serta dif-dif kehormat dan orang kenamaan.

Istiadat dikelolakan oleh Briged ke-12 Infantri Malaysia melibatkan 450 orang anggota.

Pesawat khas MH6129 yang berlepas dari Schipol pada pukul 9.40 malam Khamis waktu Malaysia mendarat di KLIA tepat jam 9.54 pagi.

Sejurus kemudian, satu demi satu keranda dibawa turun dengan penuh istiadat dimulai dengan dua keranda pertama yang membawa jenazah kru Malaysia Airlines (MAS) Mastura Mustafa dan Ahmad Hakimi Hanapi.

Upacara istiadat penghormatan jenazah selesai jam 10.54 pagi apabila kesemua 17 keranda dan tiga kendi berisi abu mayat mangsa dimasukkan ke dalam 20 kenderaan jenazah.

Serentak itu, pengumuman disiar secara langsung melalui radio, televisyen juga media sosial agar rakyat Malaysia di seluruh negara bertafakur memberi penghormatan terakhir buat mangsa.

Reaksi rakan dan keluarga ketika ketibaan pesawat khas yang membawa jenazah mangsa tragedi MH17 di KLIA. -AWANI / SHAHIR OMAR
Reaksi rakan dan keluarga ketika ketibaan pesawat khas yang membawa jenazah mangsa tragedi MH17 di KLIA. - Astro AWANI / Shahir Omar

KLIK UNTUK MELIHAT GALERI FOTO "#MENGENANGMH17: PENGHORMATAN TERAKHIR"

Jenazah mangsa seterusnya dibawa ke destinasi masing-masing untuk dikebumi atau disemadikan.


Seluruh rakyat Malaysia memakai pakaian berwarna suram sebagai tanda hormat kepada mereka mangsa nahas pesawat MH17.

Bendera di pejabat kerajaan, kedutaan dan sekolah-sekolah turut dinaikkan separuh tiang.

Dalam satu kenyataan dari Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia berkata “Kami, rakyat Amerika Syarikat bersama-sama anda rakyat Malaysia pada Hari Perkabungan MH17. Doa kami sentiasa untuk ahli keluarga mangsa nahas pesawat MH17.”


Kedutaan US
Pemandangan di hadapan pejabat Kedutaan Amerika Syarikat hari ini.

Syarikat Penerbangan Malaysia Airlines hari ini mengedarkan reben hitam tanda memperingati MH17 kepada semua anak-anak kapal manakala bendera syarikat itu turut dikibarkan separuh tiang.

MAS
Reben hitam khas MAS diedarkan kepada anak-anak kapal bagi memperingati rakan-rakan yang telah pergi - Instagram MAS

Di PULAU PINANG, kira-kira 500 orang berkumpul di lobi pusat kerajaan negeri di Komtar untuk menyertai majlis rasmi pekabungan bagi mangsa MH17, yang mana lima dari mangsa nahas adalah penduduk Pulau Pinang iaitu pramugari Nur Shazana Mohamed Salleh, pramugara Sanjid Singh Sandhu, Kapten Eugene Choo Jin Leong , Azrina Yaakob, Elaine Teoh dan Jenny Loh Yan Hwa.

Jenny, pemilik sebuah restoran di Amsterdam turut berada di atas pesawat MH17 bersama ibunya, Tan Siew Poh serta suaminya yang berwarganegara Hongkong, Fan Shun Po.

Di IPOH, Sultan Nazrin Shah telah tiba di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah pada pukul 11:52 pagi untuk bersama-sama menerima dua jenazah mangsa nahas pesawat MH17 yang berasal dari negeri Perak iaitu pramugari Chong Yee Pheng dan Noor Rahimmah Mohd Noor.

Sementara itu, jenazah pambantu juruterbang Ahmad Hakimi Hanapi dan pramugari Nur Shazana Mohamed Salleh, telah dibawa ke Masjid Putra di Putrajaya untuk disembahyangkan oleh ahli keluarga dan sahabat handai MAS.

Di KOTA KINABALU, perbicaraan 30 individu yang didakwa dengan pelbagai kesalahan berkaitan pencerobohan Lahad Datu pada Februari tahun lepas telah dihentikan seketika selama satu minit bagi menghormati kepulangan 20 jenazah pertama mangsa nahas pesawat MH17.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib dalam satu kenyataan menyebut: “Bulan lepas, 43 nyawa warga Malaysia diragut di Timur Ukraine. Hari ini, kita meratapi pemergian warga kita. Hari ini, kita mula bawa mereka pulang. Ingatan dan doa kita bersama keluarga dan rakan yang telah pergi. Hari ini kami bersama anda, menjadi satu.”

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, dalam pada itu, berkata tiga lagi mayat disahkan akan dibawa pulang pada Ahad sementara menunggu proses dokumentasi.


#MengenangMH17

bukan kematian benar menusuk kalbu
keredaanmu menerima segala tiba
tak kutahu setinggi itu di atas debu
dan duka maha tuan bertakhta
(Chairil Anwar: Nisan, Oktober 1942)


KITA berkongsi kesedihan yang teramat dalam. Kedukaan ini tidak mungkin sedalam kesedihan yang ditanggung oleh insan-insan yang dekat dengan mereka. Kita tidak pernah mengenali mereka, tetapi kita juga sangat berdukacita.

Waris dan sahabat handai yang menyambut pulang jenazah korban nahas MH17 ini kehilangan ahli keluarga dan rakan taulan. Kita ikut berdukacita kerana negara kehilangan putera dan puterinya.

Mereka bukan hanya sederet nama, bukan juga hanya sekadar angka.

Astro AWANI mengenang mereka.

Anda juga boleh rakamkan ucapan takziah dan ingatan di laman khas ini.