Laporan akhir berhubung tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 dijangka siap selepas pertengahan tahun ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri yang sedang mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Ekonomi Dunia (WEF) ke-45 di sini berkata, perkara itu dimaklumkan oleh rakan sejawatnya, Perdana Menteri Belanda Mark Rutte pada sesi pertemuan dua hala Khamis.

Beliau berkata, laporan itu sedang disiapkan oleh jawatankuasa bebas yang ditubuhkan khas untuk menyiasat tragedi itu yang diketuai Belanda.

"Beliau (Rutte) telah berjanji supaya sebelum laporan itu diumumkan, akan maklumkan kepada saya, apa dia rumusan dan dapatan daripada laporan tersebut.

"Sekali lagi, Perdana Menteri Belanda mengulangi bahawa tragedi MH17 ini telah membawa kedua-dua negara kita lebih rapat lagi dari segi hubungan," kata Najib yang juga Menteri Kewangan kepada pemberita Malaysia di sini Khamis.

Pada 17 Julai lepas, pesawat MH17, yang berlepas dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di Donetsk, Ukraine berdekatan sempadan Rusia.

Pesawat Boeing 777-200 yang membawa 298 orang termasuk 283 penumpang dan 15 anak kapal itu, dipercayai ditembak jatuh tetapi belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap tragedi itu sehingga sekarang.

Selain rakyat Malaysia, penumpang pesawat itu terdiri warga Belanda, Australia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Kanada, New Zealand, Indonesia dan Filipina.

Najib berkata pertemuan kira-kira 20 minit itu turut membincangkan tentang minat Belanda dalam minyak sawit dan kayu balak.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu dan Ketua Menteri Andhra Pradesh, Chandra Babu Naidu.

Antara yang dibincangkan termasuk langkah untuk terus meningkatkan hubungan dua hala dalam semua bidang termasuk teknologi, ekonomi, perdagangan dan ketenteraan.