Tutup

Berita  | MH17

MH17: Rakan baik bersyukur jasad Mohamed Ali ditemui

MH17: Rakan baik bersyukur jasad Mohamed Ali ditemui
Ujian DNA berjaya membuktikan salah satu mayat adalah milik Allahyarham Mohamed Ali Salim (gambar)
KOTA BHARU: Warga Universiti Sains Malaysia (USM) melahirkan rasa syukur kerana jasad bakal pensyarah Neurosaraf, Mohamed Ali Salim ditemui dan bakal dibawa pulang pada 22 Ogos nanti.

Bagi bekas pensyarah serta rakan baik kepada Allahyarham Mohamed Ali, Prof Jafri Malin Abdullah, beliau dimaklumkan oleh ahli keluarga mangsa baru-baru ini bahawa ujian DNA berjaya membuktikan salah satu mayat adalah milik Allahyarham Mohamed Ali Salim.
Allahyarham antara mangsa nahas yang terawal menjalani ujian DNA dan antara terawal dikenal pasti.

Beliau dimaklumkan proses menguruskan jenazahnya sudah dilakukan sebelum dapat di bawa pulang.
"Arwah adalah antara yang terawal yang dikenal pasti menggunakan kaedah DNA di Belanda dan saya telah dimaklumkan oleh ahli keluarganya melalui SMS dan mereka maklum yang arwah dah dimandikan oleh pegawai agama di sana dan dimasukkan ke dalam kotak untuk tujuan pengangkutan dan akan dibawa pulang bersama 15 yang lain lagi ke tanah air," kata Prof Jafri ketika ditemui Astro AWANI siang tadi.

Menurutnya lagi, beliau dimaklumkan segala urusan menguruskan jenazah Allahyarham di sana berjalan lancar dan sempurna dan kini hanya menunggu untuk dibawa pulang dan disemadikan di kampung halamannya di Pagoh, Johor.

Beliau bagaimana pun tidak memaklumkan keadaan jasad Allahyarham kerana itu adalah rahsia demi menjaga sensitiviti keluarga Allahyarham.

Katanya apa yang penting Allahyarham ditemui dan dalam masa singkat pengecaman dapat dilakukan dan jasad Allahyarham Mohamed Ali dapat dibawa balik dan dikebumikan di kampung halaman.

Dia juga memaklumkan rakan-rakan Allahyarham di universiti tempat beliau melanjutkan pelajaran juga bersyukur jasadnya telah dikenal pasti dan turut mengadakan majlis memperingati Allahyarham di Universiti Rotterdam.

Allahyarham Mohamed Ali Salim, 30, merupakan antara anak Melayu yang pintar yang dapat mengikuti pengajian lanjutan peringkat PHD dalam bidang Neurosaraf di luar negara.

Beliau antara 283 penumpang pesawat MH17 yang dipercayai di tembak jatuh di ruang udara Ukraine pada 17 Julai lepas.

Ketika itu, Allahyarham dalam perjalanan pulang ke tanah air untuk menyambut Aidil Fitri setelah dua tahun tidak bertemu keluarga.