Tutup

Berita  | MH370

MH370: 7 keluarga waris penumpang terima bayaran pendahuluan pampasan

MH370: 7 keluarga waris penumpang terima bayaran pendahuluan pampasan
Enam keluarga dari Malaysia dan satu keluarga dari China sudah terima bayaran pendahuluan pampasan
PUTRAJAYA: Seramai tujuh keluarga waris penumpang pesawat MH370 menerima pembayaran pendahuluan berjumlah AS$50 ribu, daripada Malaysia Airlines (MAS).

Enam daripada penerima adalah waris penumpang Malaysia, sementara satu merupakan waris penumpang China.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Waris MH370, memaklumkan, pembayaran penuh akan dibuat selepas misteri kehilangan pesawat itu berakhir secara rasminya.

“Kita perlu tunggu pengumuman mengenai sama ada pesawat itu ditemui atau kita isytiharkan pesawat ini hilang, dan ia menandakan  tragedi ini berakhir, ketika itu kita akan bercakap mengenai pampasan keseluruhannya,” kata Hamzah.
Hamzah memaklumkan, proses tuntutan oleh waris memakan masa, kerana MAS perlu memastikan waris yang benar-benar layak.

Beliau menjelaskan ini termasuk 40 waris di China yang masih menanti pengesahan identiti masing-masing oleh pihak berkuasa negara itu.
Sementara sebahagian besar waris di Malaysia dan beberapa negara lain dalam proses melantik peguam untuk berunding bagi urusan tersebut.

Hamzah terdahulu mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa tersebut bersama beberapa agensi berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Dalam perkembangan berkaitan, Hamzah mendesak kumpulan Voice of MH370 yang didakwa mewakili suara waris supaya tampil memperkenalkan diri.

Beliau menjelaskan pihaknya tidak akan melayan sebarang tuntutan dikemukakan kumpulan terbabit, jika kumpulan tersebut tidak benar-benar telus berhubung siapa dan berapa waris yang diwakilinya.

Seramai 12 orang individu masing-masing mewakili waris penumpang MH370 adalah dari China, Malaysia, Amerika Syarikat (AS), India dan New Zealand.

Mereka adalah Steve Wang, Jimmy Wang, Li Li dari China, Dr Yi-Kiong Hue, V.P.R Nathan Velayudhan, Lokman Mustafa dari Malaysia, Sarah Bajc dari AS, K.S. Narendran, Pralhad Shirsath dari India dan Prudence Tomblin, Danica Weeks, Peter Weeks dari New Zealand.