Pemangku menteri pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Mesyuarat ke-9 Perjanjian Pertahanan Lima Negara memperbaharui komitmen untuk terus menyokong usaha mencari pesawat MH370.

Perjanjian yang dianggotai Malaysia, Singapura, New Zealand, Australia dan United Kingdom itu turut memperakui empat jawatankuasa peringkat kementerian yang ditubuhkan sebelum ini ketika operasi pencarian memasuki fasa baru.

Jelas Hishammuddin, pusat operasi pencarian pesawat terbabit bagaimanapun akan kekal di Canberra, Australia.

"(Jawatankuasa) Pertama ialah di peringkat kementerian, hal ehwal keluarga penumpang dan krew MH370, manakala satu lagi ialah jawatankuasa kerahan aset.

“Ketiga ialah pakar-pakar yang ada bawah naungan kita daripada seluruh dunia, sama ada US, China, pakar statelit syarikat yang berkenaan seperti Boeing, semuanya digembeling di bawah jawatankuasa pakar,” katanya.

MH370 yang dalam perjalanan ke Beijing 8 Mac lepas hilang sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sehingga kini tiada sebarang penemuan yang boleh dikaitkan dengan pesawat berkenaan.

Usaha mencari mengunakan kenderaan autonomi dasar laut Bluefin -21 dihentikan pada minggu lalu sementara tugas mengimbas diteruskan mengunakan kapal tentera China Zhu Kezhen, merangkumi keluasan 60,000 kilometer persegi.