Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kemasukan pelancong China ke Malaysia terjejas ekoran kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370.

Beliau berkata setakat ini kebanyakan pelancong China telah membatalkan lawatan mereka ke Malaysia, malah tiada 'tempahan penerbangan' direkod bagi penerbangan dari China ke Malaysia.

Nazri berkata, pihaknya akan menangguh segala bentuk promosi dan kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 di China bagi menghormati sensitiviti rakyat negara itu berikutan majoriti penumpang MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas adalah warga China.