Negara-negara yang terlibat dalam pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 sehingga kini tidak pernah membuat sebarang tuntutan daripada Malaysia walaupun pencarian melibatkan aset-aset ketenteraan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata negara-negara seperti Australia dan China yang terlibat secara langsung dalam pencarian itu banyak membantu sepanjang proses pencarian pesawat berkenaan.

Namun, kerajaan akan membincangkan isu perkongsian kos antara Australia, China dan Malaysia bagi meneruskan pencarian fasa kedua, katanya.

"Saya percaya berikutan lawatan Datuk Seri Liow Tiong Lai (Menteri Pengangkutan) ke Canberra, Australia, mereka akan membincangkan perkongsian kos yang akan dibahagi atau dikongsi di kalangan tiga negara.

"Saya perlu nyatakan penghargaan kepada kerajaan Australia kerana pada asasnya mereka telah lakukan ini pada masa lepas, tanpa sebarang tuntutan kos daripada kita.

"Malah sekarang pun tidak ada tuntutan kepada kita untuk kongsi kos. Namun, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita bersetuju untuk perkongsian kos," katanya.

Hishammuddin berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Tanjong, di sini hari ini.

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, dipercayai telah berakhir di selatan Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, berdasarkan analisis data satelit oleh pakar daripada United Kingdom.

Misi pencarian MH370 masih diteruskan tetapi setakat ini tiada petunjuk ditemui berhubung pesawat itu.

Ditanya mengenai jumlah kos yang akan dibincangkan itu, Hishammuddin berkata Liow akan membuat pengumuman berhubung hasil perbincangannya dengan Australia.

Sementara itu, Hishammuddin berkata rakyat Malaysia boleh menderma darah bagi penduduk di Gaza, Palestin sebagai lambang solidariti terhadap Negara bergolak itu menerusi kempen dan gelombang keamanan anjuran pertubuhan bukan kerajaan.

"Walaupun negara kita kecil, tetapi kita boleh membantu semampu yang boleh. Kita buat apa yang kita mampu untuk memberi keselesaan kepada mereka yang menderita selain menyuntik dalam jiwa anak-anak mereka untuk membantu mereka yang dalam kesusahan," katanya.