Penganalisis politik Dr Chandra Muzaffar berkata pandangan Tun Daim Zainuddin mengenai pemimpin parti pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sebuah wawancara bersama akhbar New Sunday Times baru-baru ini adalah benar belaka.

Bekas pengasas bersama parti Keadilan yang dihubungi Astro Awani berkata hubungan rapat Anwar dengan individu dari barat seperti Paul Wolfowitz dari Tabung Kewangan Dunia (IMF) patut didedahkan kepada rakyat Malaysia.

"Sepanjang saya mengenali Anwar, saya anggap pendedahan Tun Daim itu benar belaka," menurut Chandra yang memetik kenyataan Daim bahawa Anwar telah diuji semasa krisis kewangan Asia namun dia gagal.

Kata Chandra, Anwar gagal memimpin sewaktu krisis ekonomi melanda dengan mendampingi IMF walaupun badan tersebut mengenakan kadar faedah yang tinggi.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan kegagalan Anwar adalah berpunca daripada kurangnya pengetahuan beliau dalam bidang ekonomi.

Chandra turut mengingatkan Anwar supaya tidak mencetuskan situasi yang tidak diingini rakyat Malaysia.

Beliau merujuk kepada kenyataan Daim yang mengatakan Anwar bakal mencetuskan situasi yang hampir sama dengan kebangkitan negara-negara Arab sekiranya Pakatan Rakyat gagal menawan Putrajaya.

"Malaysia mempunyai pasukan keselamatan yang kuat dan sistem demokrasi yang berfungsi. Malaysia sangat berlainan dengan negara-negara Arab itu," tambah Chandra.

Beliau turut mempersoalkan pihak yang membandingkan Malaysia dengan sesetengah negara Arab dari aspek kestabilan.

Dalam satu temubual dengan New Sunday Times, Daim yang merupakan mantan menteri kewangan membidas Anwar dengan mengatakan pemimpin itu tidak layak menjadi Perdana Menteri mahupun menteri kewangan.

Daim juga lebih memihak kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan menggesa rakyat memberikan mandat kepada beliau untuk penggal pemerintahan yang akan datang.