Kecekapan sesebuah jentera pilihan raya penting bagi memastikan calon bertanding terus mendapat sokongan pengundi berbanding kehadiran besar rakyat pada ceramah politik.

Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin berkata apabila jentera pilihan raya berjalan dengan cekap serta lancar, ia mampu mengenepikan sebarang unsur sabotaj dalam parti, sekali gus menjamin kejayaan calon yang bertanding.

Menurutnya dalam ceramah pakatan pembangkang, mereka biasanya berusaha membawa 'orang luar' dalam jumlah ramai ke majlis itu untuk menggambarkan seolah-olah kempen mereka mendapat sokongan hebat.

Jelas beliau, ada dalam kalangan hadirin ke ceramah pembangkang, hanya disebabkan perasaan ingin tahu atau sekadar 'suka' mendengar kritikan yang dilemparkan terhadap kerajaan.

Beliau bercakap demikian kepada pemberita selepas berucap pada majlis kempen calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di sini, malam ini.

Mengenai persekitaran kempen politik semasa, Daim percaya BN mampu memenangi dua pertiga daripada kerusi Parlimen pada pilihan raya ini.

Beliau berkata pada pilihan raya 2008, BN menghadapi masalah berkaitan sabotaj dalam parti, namun kali ini pakatan pembangkang pula, sedang menghadapi masalah sama apabila ramai beranggapan mereka boleh menang di kawasan tertentu lalu bertanding atas tiket Bebas.

Daim turut menegaskan bahawa perubahan jika ingin dibuat, sepatutnya dilakukan dalam keadaan tersusun dan bukannya dengan kadar segera, lebih-lebih lagi dalam krisis ekonomi yang melanda dunia.

"Beberapa negara Eropah yang menghadapi kegawatan ekonomi kini, sehingga mencetuskan masalah pengangguran ... sedangkan di Malaysia keadaannya cukup berbeza dengan ekonomi yang baik serta kadar pengangguran yang amat rendah," katanya.

Terdahulu Tengku Adnan dalam ucapannya menghargai kehadiran bekas Menteri Kewangan itu ke Putrajaya dan turut bersama para hadirin menyanyikan lagu "Selamat Hari Jadi" buat beliau.