Calon muka baharu Barisan Nasional (BN) Tengku Rethwan Mansor yang sepatutnya bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia pada pilihan raya umum ke-13, menarik diri hari ini.

Timbalan Pengarah Pilihan Raya BN Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata Tengku Rethwan telah menarik diri dan penarikan itu telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak tengah hari semalam.

"Tengku Rethwan telah menarik diri dan surat penarikan diri telah dihantar kira-kira pukul 12 tengah hari.

"Atas sebab itu, Pengerusi BN Selangor (Najib) telah pun bersetuju mencalonkan Datuk Abdul Halim Samad (Penyelaras BN DUN Seri Setia) sebagai pengganti dan beliau (Abdul Halim) akan menghantar borang penamaan calon esok pagi," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Umno di sini.

Mohd Zin telah menyerahkan watikah pelantikan sebagai calon kepada Abdul Halim pada kira-kira 3.15 petang Jumaat.

Ketika ditanya mengenai sebab penarikan diri Tengku Rethwan, Mohd Zin bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

"Biasalah dalam pilihan raya perkara ini memang selalu berlaku, sampai saat akhir memang akan ada pertukaran calon atau penarikan diri oleh calon-calon yang bakal bertanding," katanya.

Sementara itu, Abdul Halim, 46, berkata pencalonannya merupakan satu penghargaan buat dirinya dan beliau berterima kasih kepada Pengerusi BN yang mempercayai kepimpinannya.

"Terima kasih kepada Pengerusi (Najib) dan Timbalan (Mohd Zin) BN Selangor yang melantik saya sebagai calon, saya juga mahu berterima kasih kepada mereka yang telah menyokong kerja-kerja saya.

"Walaupun dicalonkan pada saat-saat akhir, saya akan berikan yang terbaik dan memastikan kemenangan BN di sini (DUN Seri Setia)," katanya.

Sementara itu di SEREMBAN, ahli perniagaan Abu Samah Mahat diumumkan sebagai calon baharu Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol, menggantikan calon sebelum ini Fadzil Abu Kassim yang menarik diri.

Pengumuman dibuat Pengerusi BN Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini yang turut menyerahkan watikah calon kepada Abu Samah, 61, pada kira-kira 10.30 pagi Jumaat di kediaman rasmi Menteri Besar.

Selasa lepas, Mohamad semasa mengumumkan senarai calon BN yang akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) di Negeri Sembilan menamakan Fadzil sebagai calon BN bagi DUN Johol.

"Fadzil telah hubungi saya...beliau menyatakan hasrat untuk tarik diri dalam PRU13. Ini satu contoh keperibadian baik dan semangat untuk lihat supaya parti didahulukan," kata Mohamad.

Susulan daripada itu, Menteri Besar berkata beliau telah menerima hasrat Fadzil dan menghubungi Ketua Umno Bahagian Kuala Pilah Datuk Ismail Lasim untuk memberikan senarai nama calon lain untuk dibawa ke peringkat pucuk pimpinan parti.

Senarai nama itu telah dikemukakan kepada Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak yang kemudian memutuskan Abu Samah sebagai calon pengganti di DUN Johol yang berada di bawah Parlimen Kuala Pilah, katanya.

Mengulas mengenai calon pengganti itu, Mohamad berkata Abu Samah yang juga pesara kerajaan bukanlah orang baru dalam arena politik dan amat dikenali serta diterima ramai terutama dalam kawasan Johol.

"Pilihan itu amat tepat dan saya yakin pencalonan beliau (Abu Samah) tidak akan mendapat apa-apa tentangan daripada penduduk setempat," katanya.