Penganalisis politik memberi ingatan kepada parti-parti yang bertanding supaya siap sedia menghadapi kemungkinan untuk dikecewakan oleh calon bebas pada hari pengundian 5 Mei nanti.

Pengarah Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata, penyertaan ramai calon bebas yang bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh memecahkan undi yang sepatutnya diperolehi oleh parti-parti utama itu untuk menang sesebuah kerusi.

"Saya percaya banyak calon bebas yang akan mempengaruhi keputusan di beberapa kerusi. Kita mungkin akan melihat ada calon yang kalah kerana undi (yang sepatutnya mereka perolehi) pergi kepada calon bebas," katanya kepada Astro AWANI.

Selepas penamaan calon semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan penyertaan 79 calon bebas bagi kerusi Parlimen dan 191 calon bebas bagi kerusi DUN.

Pada pilihan raya umum 2008, jumlah calon bebas bertanding kerusi Parlimen dan DUN ialah 103 orang dengan kebanyakannya di Sabah.

"Dalam pilihan raya kali ini, kita boleh nampak ada masalah disiplin yang besar pada kedua-dua belah pihak, BN dan Pakatan Rakyat dan itu menyumbang kepada jumlah calon bebas yang agak ramai," kata Ibrahim.


Disiplin

Antara calon bebas yang menarik tumpuan ialah bekas Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim yang bertanding di kerusi Parlimen Kuala Kangsar yang engkar keputusan parti tidak mencalonkan beliau dalam pilihan raya kali ini.

Bekas Setiausaha Sulit kepada Datuk Seri Ong Tee Keat, Allan Tan Yew Leng yang bertanding di Parlimen Pandan dilihat calon proksi kepada bekas Presiden MCA itu yang juga tidak disenaraikan oleh BN.

Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Shariff Omar pula bertanding sebagai calon bebas di kerusi Parlimen Tasek Gelugor selepas beranggapan kerusi itu hanya "dipinjamkan" kepada calon lain semasa pilihan raya umum 2008.

Selain beberapa calon daripada BN, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP juga berdepan dengan masalah disiplin ahli partinya yang bertanding sebagai calon bebas kerana tidak puas hati tidak dipilih sebagai calon. Pas pula berdepan masalah selepas meletakkan calon di enam kerusi yang sepatutnya ditandingi oleh PKR.

Dalam pada itu, Ibrahim menarik perhatian bahawa selain calon bebas yang kecewa, ada juga di kalangan calon bebas yang bertanding kerana ditaja oleh pihak tertentu dengan misi untuk melakukan sabotaj.

"Unsur sabotaj inilah yang perlu dibimbangi oleh BN dan Pakatan Rakyat," tambahnya.

Dalam PRU-13 ini juga, 40 peratus daripada kerusi Parlimen menyaksikan pertembungan lebih daripada dua calon termasuk daripada parti-parti kecil melibatkan 90 daripada 222 kerusi.

Jumlah dan pecahan calon yang bertanding kerusi Parlimen dalam PRU-13 pada 5 Mei ini.

Bagi kerusi DUN pula, 185 kerusi akan ditandingi oleh lebih daripada dua calon iaitu bersamaan dengan 36 peratus daripada 505 kerusi.

Pada 2008, hanya 89 kerusi Parlimen dan DUN yang menyaksikan pertandingan lebih dua calon dan kebanyakannya di Sabah.

Sementara itu, pakar sains politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr Faisal Hazis berpendapat, parti-parti kecil yang bertanding dalam PRU-13 ini tidak harus dipandang remeh kerana mereka mungkin boleh membuat kejutan terutamanya parti-parti di Sabah dan Sarawak.

"Parti Pekerja Sarawak (SWP) mempunyai kemampuan kewangan yang besar manakala Parti Reformasi Negeri (Star) popular di Sabah," katanya.

Selebihnya, beliau mengingatkan bahawa sesetengah calon bebas itu masih ada pengaruh di kalangan akar umbi.


Personaliti

Beliau memberikan contoh kerusi Parlimen Mas Gading di Sarawak yang ditandingi oleh penyandangnya, Dr. Tiki Lafe yang bertanding atas tiket bebas tetapi menyokong BN.

"Kita tidak boleh ketepikan mereka begitu saja kerana personaliti seseorang calon itu ada peranannya juga," kata Dr. Faisal.

Bagaimanapun beliau mengakui bahawa calon bebas, biar popular bagaimana pun, akan berdepan dengan jentera parti yang kuat dan teratur, baik BN mahupun Pakatan Rakyat.

Namun beliau tidak melihat calon-calon bebas ini sebagai suara ketiga kerana ia bukan gerakan yang tersusun dan tidak pula membentuk pakatan kecil.

"Ini kebanyakannya hanyalah manifestasi kekecewaan setelah tidak dipilih jadi calon," katanya.

Sementara itu, Ibrahim berpendapat ada satu lagi sebab kenapa pilihan raya umum kali ada ramai calon bebas.

"Mereka jadi calon sebab merasakan ada peluang untuk menang," katanya, sambil merujuk kepada apa yang berlaku pada 2008 apabila beberapa nama calon tangkap muat jadi wakil rakyat.