Kejayaan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kedudukannya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) semalam, disifatkan sebagai pengiktirafan rakyat terhadap parti itu dalam menerajui kepimpinan negara.

Presiden Majlis Belia Malaysia Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata dengan kemenangan itu BN diharap dapat memimpin negara ke arah yang lebih baik serta bertindak secara menyeluruh dalam menyelesaikan isu jurang antara kaum di negara ini.

"Dengan kemenangan ini kerajaan perlu melihat secara menyeluruh keperluan dan kehendak rakyat khususnya golongan muda kerana mereka inilah yang akan memantau dan dan menilai sesebuah kepemimpinan secara mendalam.

"Selain itu, kerajaan terlebih dahulu perlu merapatkan jurang antara kaum yang wujud dalam kalangan generasi muda di negara ini kerana ia merupakan halangan utama dalam membentuk perpaduan dalam masyarakat," katanya kepada Bernama ketika dihubungi, di sini, Isnin.

Mohamed Maliki berkata selama empat tahun mentadbir negara, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya mewujudkan pelbagai program bermanfaat kepada rakyat seperti Gagasan 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan pelbagai jenis bantuan bagi meringankan beban rakyat.

Namun begitu, beliau menegaskan isu perkauman wajar dikenal pasti dan diselesaikan segera kerana ia akan memberi impak negatif terhadap pembangunan negara.

"Kita harus sedar isu perkauman ada kaitan dengan agenda pembangunan negara. Generasi muda hari ini ramai yang berpecah belah khususnya dari segi ideologi politik, justeru menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menangani isu ini agar tidak terus merenggangkan hubungan antara kaum," katanya.

Beliau berkata isu perkauman yang merupakan modal politik pihak tertentu dalam meraih undi sepanjang PRU13 juga merupakan antara perkara yang perlu diberi perhatian serius.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan berkata kemenangan BN perlu diterima dengan hati terbuka oleh semua pihak tanpa perlu membangkitkan isu lain yang tidak relevan untuk diperdebatkan.

Katanya, dengan kemenangan itu masyarakat sepatutnya menumpukan fokus kepada agenda pembangunan negara dan menolak sebarang syak wasangka yang cuba memecahbelahkan masyarakat di negara ini.

"Jika kita masih nak berbalah dan asyik tidak berpuas hati dengan keputusan PRU13, kita hanya merugikan masa dan tenaga selain turut mengganggu proses pembangunan negara. Saya harap dengan keputusan yang diumumkan semalam, tiada lagi pergeseran (perbalahan) antara parti.

"Apabila negara aman damai, secara tidak langsung ia turut mendorong pelajar dan generasi muda untuk lebih fokus terhadap tanggungjawab sebenar mereka berbanding mengikut tekanan sesetengah pihak yang mempunyai kepentingan peribadi," katanya.

Hashim turut berharap agar BN akan mengotakan 17 perkara yang disebut dalam manifesto atau aku janji BN demi manfaat dan kemakmuran rakyat di negara ini.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Khalid Atan pula berkata kemenangan BN harus diterima oleh rakyat secara menyeluruh kerana parti itu jelas dipilih melalui sistem pengundian dan amalan demokrasi yang dijalankan di negara ini.

Katanya, dengan kemenangan BN itu beliau berharap agar kerajaan dapat melaksanakan tuntutan yang telah dikemukakan MTUC sebelum ini selaras dengan agenda transformasi negara.

"Selain itu juga, saya berharap agar kerajaan dapat memberi lebih perhatian terhadap isu-isu yang melibatkan golongan pekerja bagi tujuan menjaga kebajikan mereka (pekerja) kerana mereka ini juga merupakan penyumbang undi terhadap kejayaan BN pada PRU13," katanya.

Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye sementara itu berharap agar kerajaan atau pembangkang, kedua-duanya dapat menjalankan tanggungjawab mereka dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela.

"PRU13 baru sahaja tamat namun tugas yang segera dan penting untuk kita semua ialah untuk membawa Malaysia ke arah negara yang bersatu dalam menghadapi pelbagai cabaran domestik serta global.

"Sekarang sudah tiba masanya untuk kita kembali kepada kewarasan, menurunkan 'acrimony' (kepedihan) dan bersama-sama demi membangunkan negara walaupun terdapat perbezaan ideologi politik," katanya yang juga seorang aktivis sosial.

PRU13 semalam menyaksikan BN kekal berkuasa dengan memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu.