Masyarakat India boleh menjadi kuasa penentu pada pilihan raya umum ke-13 walaupun komuniti itu bukan majoriti di mana-mana kawasan parlimen atau dewan undangan negeri (DUN), kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah, perdana menteri berkata masyarakat India mempunyai peranan yang besar kerana dengan jumlah peratusan di kebanyakan kawasan, golongan itu boleh menjadi kuasa penentu di satu-satu kawasan.

"Kita lihat prestasi Barisan Nasional (BN) merosot pada 2008, dan antara faktornya ialah kerana kurang sokongan kaum India kepada BN.

"Tetapi saya percaya keadaan ini telah pun dapat dipulihkan. Ada beberapa faktor...kita telah buat kajian, ada faktor realiti, ada faktor emosi. Kita lihat bahawa masyarakat India lebih yakin kepada BN.

"Umpamanya di Selangor, tidak ada satu kuil pun yang telah dimusnahkan oleh BN, sebaliknya kerajaan negeri telah mengambil tindakan terhadap beberapa kuil termasuk kuil persendirian," katanya.

Perdana menteri berkata demikian dalam wawancara khas program 'Helo Malaysia' versi Tamil terbitan BernamaTV di saluran Astro502 malam ini.

Wawancara itu dikendalikan wartawan Bernama, Michael Savarimuthu dan K.Ghandi.

Mengenai sokongan kaum India kepada BN, Najib berkata pengundi India boleh memastikan kemenangan BN secara keseluruhan terutama di negeri seperti Selangor, Perak, Pulau Pinang, Johor, Negeri Sembilan dan selatan Kedah.

Katanya beliau turut terharu apabila parti rakan BN seperti Parti Barisan Progresif India (IPF) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kaum India bukan sahaja menyokong tetapi juga bekerja untuk memastikan kemenangan BN pada pilihan raya umum ini.

Mengenai persepsi segelintir masyarakat India yang menyokong perdana menteri, tetapi kurang yakin terhadap MIC, beliau berkata rakyat mesti sedar bahawa ia dilema yang boleh diselesaikan dengan menyokong sesiapa calon BN yang juga calon daripada pasukan beliau.

"Sistem kita ini merupakan sistem demokrasi berparlimen. Nama saya tiada pada kertas undi, tetapi yang mewakili saya di sesetengah kawasan tertentu, ialah wakil daripada parti MIC.

"Jadi, mereka mesti anggap calon MIC itu sebahagian daripada pasukan saya. Jika mereka nak saya terus berkhidmat memimpin negara sebagai perdana menteri, mereka perlu menyokong calon BN," katanya.

Menurut perdana menteri, yang penting bukanlah individu tertentu tetapi parti yang akan menubuhkan kerajaan dan siapa yang akan dilantik sebagai perdana menteri pada masa akan datang.

Mengulas pertemuannya dengan pemimpin Hindraf baru-baru ini, Najib berkata beliau berpuas hati dengan perjumpaan kali pertama itu dan turut menyambut baik peranan yang mahu mereka mainkan bagi membantu menyelesaikan masalah membabitkan masyarakat India.

"Saya kata saya terima, itu baik. Lebih ramai orang sokong untuk bantu kaum India, lebih berkesan usaha yang kita nak lakukan untuk bantu masyarakat India," katanya.

Beliau berkata pada pertemuan itu beliau turut menjelaskan bahawa Malaysia tidak mempunyai tempat untuk golongan pelampau dan pelampau dari segi politik berbahaya kepada negara.

"Sebab itu, kita mesti menjurus kepada pendirian yang sederhana. Apabila kita sederhana dari segi pendirian kita, tuntutan kita, maka amat mudah untuk kita mencari penyelesaian. Saya beritahu kepada pemimpin Hindraf, ini caranya dan mereka faham," katanya.

Mengenai dakwaan terdapat akhbar bahasa Tamil yang condong ke arah pembangkang, Najib menolak andaian itu kerana sebahagian besar akhbar berkenaan bukan sahaja menyediakan tempat untuk BN, tetapi juga pembangkang yang jelas menunjukkan kerajaan mengamalkan dasar keterbukaan media.

Katanya kerajaan akan meneruskan penglibatan dengan akhbar berkenaan supaya mereka dapat memberi gambaran sebenar tentang dasar-dasar kerajaan dan langkah-langkah yang telah dibuat untuk membantu masyarakat India.

Ditanya sama ada beliau cukup tidur dan rehat untuk menghadapi pilihan raya umum ini, Najib sambil berseloroh berkata: "InsyaAllah, saya tak nampak begitu letih kan? Saya masih segar lagi."

Katanya sudah menjadi tugas sebagai perdana menteri untuk turun padang dan beliau tidak boleh merungut.

"Saya pegang pada satu falsafah yakni kalau saya pegang sesuatu jawatan, sesuatu tugas yang diamanahkan kepada saya, saya nak lakukan dengan sebaik mungkin yang termampu oleh saya.

"Saya tidak berpuas hati melainkan saya tidak melakukan sedemikian rupa. Jadi, saya betul-betul komited untuk melakukan yang terbaik untuk negara kita," katanya.

Beliau juga berkata perpaduan merupakan soal asas kepada negara dan yakin bahawa masa depan Malaysia hanya terjamin jika kerajaan dapat membentuk satu masyarakat pelbagai kaum yang bersatu padu.

Ia mesti berpaksi kepada sebuah kerajaan berbilang kaum yang mendapat mandat kuat dan kukuh daripada rakyat kerana kerajaan yang kuat ialah jaminan kestabilan negara, katanya.

Transkrip penuh di sini.