Menteri Besar Kedah yang baru dilantik, Datuk Mukhriz Tun Mahathir hari ini memulakan tugas rasminya di pusat pentadbiran kerajaan negeri di Wisma Darul Aman, Alor Setar, Kedah.

Mukhriz yang tiba jam 8.50 pagi, disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Rasli Basir, Setiausaha Sulit, Hilmi Yahya, serta beberapa kakitangan Pejabat Menteri Besar.

Sepertimana kakitangan kerajaan yang lain, Mukhriz turut melakukan perakaman waktu pada kad kakitangan yang telah tersedia di situ dengan tercatitnya nama beliau.

Mukhriz kemudian diperkenalkan kepada 15 kakitangan Pejabat Menteri Besar sebelum dibawa masuk ke dalam Pejabat Menteri Besar.

Perkara pertama yang ditanya Mukhriz sebaik sahaja masuk ke bilik pejabatnya ialah mengenai kemudahan WiFi yang disediakan.

Semalam Mukhriz mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang ke-10 selepas Barisan Nasional (BN) menang 21 kerusi daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri untuk membentuk kerajaan.

Pada PRU-13, Mukhriz memenangi kerusi Dun Ayer Hitam menewaskan Abdul Ghani Ahmad daripada Pas dengan majoriti 2,446 undi.