Ketidaktentuan bilakah tarikh pilihan raya umum akan datang sedikit sebanyak dikatakan menjejaskan "periuk nasi" beberapa agensi pelancongan.

Ia berikutan ramai yang mengambil langkah menangguhkan buat sementara rancangan untuk melancong mereka.

Ini bagi memastikan mereka dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi sewaktu pilihan raya nanti yang dilihat antara paling sengit bakal berlangsung.

Menurut beberapa ejen pelancongan, perniagaan mereka mengalami penurunan ketara dari aspek jumlah jualan mahupun pertanyaan dari pelanggan.

"Pada kebiasaannya ramai yang memilih untuk pergi bercuti pada bulan ini, memandangkan bulan Mac hingga Mei adalah musim bunga di kebanyakan negara di dunia," kata Tai Poh Kim, seorang penyelia agensi pelancongan Hello Holidays.

Katanya lagi ramai juga yang teragak-agak untuk menetapkan tarikh untuk bercuti, kerana menjangkakan pilihan raya berlangsung semasa cuti sekolah ini.

Manakala sebahagian ejen pelancongan yang lain berkata beberapa pelanggan yang telah menempah tiket melakukan pembatalan di saat-saat akhir sekaligus menjejaskan pendapatan agensi.

Namun begitu selain dari faktor pilihan raya, terdapat punca lain yang mungkin menyumbang kepada kejatuhan jualan termasuk nilai matawang ringgit yang lemah berbanding dolar Amerika dan Euro, serta keadaan ekonomi negara tertentu yang kini tidak stabil.

“Takut nanti jalan sesak dan kedai banyak ditutup, jadi bila dengar tarikh pilihan raya hampir sama dengan tarikh percutian kami sekeluarga, saya terus membatalkan pakej percutian yang telah ditempah“ kata Arifah Azman, 32, pekerja swasta yang telah membatalkan percutian empat harinya ke Langkawi.

Penganjur pameran pelancongan Matta yang berlangsung baru-baru ini, turut menurunkan sasaran jualan kepada RM90 juta berbanding RM100 juta tahun lalu.

Namun tidak semua agensi pelancongan mengalami penurunan jualan.

Liyana Roslan, Eksekutif Pelancongan di Triways Travel Network, berkata bahawa sambutan daripada orang ramai terus menggalakkan, terutama tempahan perjalanan percutian seminggu sebelum cuti sekolah sehinggalah April.

"Musim pilihan raya tidak memberi sebarang kesan terhadap jualan syarikat kami. Jualan menyaksikan peningkatan berbanding bulan yang sama tahun lepas," akui Liyana.