Pas Kedah terus mempertahankan bertanding di 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini biarpun DAP meminta Pas melepaskan satu kerusi untuk parti itu.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata mereka tidak akan melepaskan sebarang kerusi namun Pas hanya bersedia menukar beberapa kerusi antara DAP dan PKR.

“Itu tak ada lepas melepas... kita tukar menukar, itu ada. Itu akan dapat disaksikan pada hari penamaan calon,” kata Hadi selepas ceramah pelancaran manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 di kompleks Pas Kedah malam tadi.

Isu tuntutan kerusi bagi PRU-13 timbul apabila Pakatan Rakyat di Kedah masih gagal memuktamadkan agihan kerusi hingga ke hari ini selepas pengerusi PKR Kedah, Datuk Wan Salleh Wan Isa meminta Pas melepaskan satu kerusi untuk DAP.

Ini kerana pada pilihan raya lepas DAP hanya bertanding dua kerusi DUN di Kedah manakala Pas bertanding di 24 kerusi dan PKR bertanding 10 kerusi.

Di peringkat nasional pula, isu kerusi sekali lagi menjadi hangat apabila Pas mengumumkan hendak mengambil alih kerusi yang sebelum ini ditandingi oleh PKR seperti Temerloh.

Parti itu pada Selasa telah mengumumkan bertanding 76 kerusi Parlimen iaitu pertambahan 10 kerusi daripada yang ditandinginya dalam pilihan raya umum 2008.

Naib Presiden PKR Mohamed Azmin Ali pula kemudiannya mengumumkan parti itu akan bertanding di Parlimen Labuan, Bera dan Setiawangsa pada PRU-13 sebagai ganti kepada kerusi Temerloh dan Kangar yang ditandingi Pas.

Tindakan Azmin telah menimbulkan kekecewaan Pas Wilayah Persekutuan kerana ia dikatakan membelakangi parti itu apabila mengumumkan calon untuk bertanding bagi kerusi-kerusi tersebut.

Abdul Hadi, malam tadi telah melancarkan manifesto Pakatan Rakyat negeri Kedah dengan tema Kedah Sejahtera: Nikmat Untuk Semua bagi menghadapi PRU-13.

Perjanjian persetujuan buku manifesto tersebut sebelum itu telah ditandatangani oleh ketiga-tiga kepimpinan Pakatan Rakyat iaitu Pas, PKR dan DAP di kediaman Menteri Besar Kedah.