Beberapa pemimpin Pakatan Rakyat (PR) hari ini tidak bersetuju dengan pembentangan manifesto pilihan raya menerusi siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) selama 10 minit seperti yang diumumkan oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim semalam.

Pemimpin dari Pas, DAP dan PKR itu ketika dihubungi Astro Awani berpendapat bahawa masa yang diberikan terlalu singkat.

Mereka juga merasakan bahawa peluang untuk ke udara harus lah diberikan bukan sahaja pada waktu pilihan raya umum (PRU), tetapi sepanjang tahun.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata secara peribadi beliau tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

“Kalau (mengikut) kebebasan media, (peluang ke udara) mesti sepanjang tahun... tidak boleh masa pilihan raya sahaja,” kata Mohamad atau lebih dikenali dengan Mat Sabu.

Tambahnya, Pas akan membincangkan perkara itu dengan anggota PR yang lain bagi mendapatkan keputusan mereka.

Bagi Naib Presiden PKR, N.Surendran pula, beliau menyifatkan cadangan tersebut sebagai suatu yang ‘tidak adil’.

“Sesuatu yang amat tidak adil dan tidak cukup sebab Barisan Nasional (BN) dapat siaran daripada kerajaan untuk banyak program tanpa had dalam semua rangkaian,” kata Surendran yang juga meluahkan rasa kecewa terhadap cadangan itu.

Seperti Mat Sabu, beliau juga meminta agar peluang ke udara diberikan juga pada waktu lain selain waktu pilihan raya.

Seorang lagi anggota pembangkang iaitu Anthony Loke pula mendakwa kerajaan tidak serius apabila mencadangkan pembentangan manifesto itu.

Kata Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP itu, pembangkang hanya diberikan 10 minit sedangkan pihak BN diberikan lebih sejam setiap hari dalam liputan berita.

Beliau juga mencadangkan agar kerajaan berbincang dahulu dengan semua parti politik tentang mekanisma yang hendak digunakan sebelum melaksanakannya.

Sementara itu, Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN – Kota Belud) menyambut baik hasrat membentangkan manifesto selama 10 minit itu.

Beliau menyifatkan cadangan tersebut sebagai langkah untuk mendemokrasikan maklumat.

Kata Abdul Rahman, ia memberi peluang kepada orang ramai untuk mendengar manifesto dari kedua-dua belah pihak.

“Mungkin ada yang berpendapat waktu 10 minit itu terlalu singkat, tetapi kita ada media sosial di mana mereka boleh menyampaikan maklumat mereka (sepanjang tahun),” kata beliau.

Tambahnya, waktu 10 minit itu hanya lah bagi mengukuhkan apa yang telah disampaikan sebelum itu kerana rata-rata rakyat sudah pun mengetahui isi kandungan manifesto kedua-dua parti.

Bagi Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Dr Rohana Ariffin pula, beliau menyifatkan cadangan tersebut sebagai idea yang baik.

Menurut beliau, ia menunjukkan satu fahaman yang terbuka kerana memberi peluang kepada parti untuk menerangkan manifesto mereka secara ringkas.

Meskipun bersetuju dengan cadangan tersebut, beliau bagaimanapun berpendapat adalah lebih baik sekiranya masa yang diberikan itu lebih panjang.

Mengulas tentang permintaan pemimpin-pemimpin pembangkang yang mahukan waktu udara ‘sepanjang tahun’, Dr Rohana berkata “Itu adalah permintaan mustahil... jangan kita minta yang mustahil.”

Rais Yatim pada Jumaat memberikan kebenaran kepada parti-parti politik membentangkan manifesto mereka di RTM selepas pembubaran Dewan Rakyat yang memberi laluan kepada PRU ke-13.

Kata beliau peluang itu diberikan kepada parti BN dan juga pihak pembangkang, dengan syarat pembentangan itu akan dirakam terlebih dahulu.