Penolakan Pakatan Rakyat (PR) terhadap peruntukan sepuluh minit pembentangan manifesto di Radio Televisyen Malaysia (RTM) merupakan satu kerugian menurut penganalisis politik.

Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata PR tidak seharusnya menolak tawaran ke udara kerana ini satu-satunya peluang untuk mereka menjelaskan manifesto PR kepada umum.

"Masa yang diberi mencukupi bagi mereka membentangkan manifesto. Malah di United Kingdom, setiap parti politik diberikan masa sepuluh minit untuk mereka berkempen yang dikenali sebagai 'iklan politik'.

"Meskipun PR telah mempunyai manifestonya sendiri, namun masa ke udara yang diberikan kepada PAS, DAP dan PKR adalah sepuluh minit setiap parti. Ini bermakna mereka mempunyai 30 minit untuk membentangkan manifesto tersebut. Ianya satu kerugian bagi pihak PR," jelas beliau kepada Astro Awani.

Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia mempunyai pandangan yang sama.

"PR harus memanfaatkan sepuluh minit masa ke udara berbanding menolaknya mentah-mentah. Walaupun sepuluh minit adalah masa yang singkat namun inilah masa terbaik berinteraksi dengan pengundi".

"Tempoh masa ke udara adalah sesuatu yang subjektif. Bagi sesetengah orang, satu jam pun tidak mencukupi. Sepuluh minit adalah satu tempoh yang ideal untuk membentangkan manifesto kerana tiada sesi soal jawab dalam tempoh itu.

"Biarpun pertama kali pembangkang dibenar membentangkan manifesto namun ini adalah satu peluang untuk mendapatkan tempoh yang lebih panjang pada masa depan," tambah beliau.

22 Mac yang lalu, kerajaan mengumumkan untuk memberi kebenaran kepada parti di dalam Barisan Nasional (BN) dan PR untuk membentangkan manifesto masing-masing selama sepuluh minit namun ianya perlu dirakam terlebih dahulu.

Rais memberitahu kementeriannya akan menyediakan kemudahan tersebut sama ada parti yang bertanding menerima atau menolak pelawaan yang diberikan.

Apa pula pendapat anda? Kongsi pandangan bersama kami di U-Wartawan.