Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dijangka dibubarkan pada Jumaat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke -13 diadakan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengadap Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas di kediaman rasminya di Seri Mutiara hari ini bagi memohon perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang mengikut Artikel 19 (2) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Lim Guan Eng menerusi satu kenyataan yang diemelkan kepada media memaklumkan beliau mencadangkan kepada Yang Dipertua Negeri tarikh pembubaran DUN Pulau Pinang pada Jumaat.

Ini berikutan beliau terpaksa bergegas ke Kuala Lumpur bagi menghadiri mesyuarat majlis pimpinan Pakatan Rakyat hari ini.

Beliau dijangka membuat satu sidang media mengumumkan pembubaran DUN pada jam 10.30 pagi esok.

Pada Rabu, beliau berkata, kerajaan negeri bersedia mengadakan pilihanraya serentak bersama kerajaan pusat selepas Perdana Menteri , Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat bagi membolehkan PRU-13 dijalankan.

Terdahulu, kenderaan rasmi ketua menteri dilihat memasuki kediaman rasmi Yang Dipertua Negeri pada jam 9.30 pagi.

Pertemuan kira-kira 40 minit itu berakhir apabila kenderaan Ketua Menteri itu keluar pada jam 10.10 pagi.
Pulau Pinang mempunyai 13 kawasan Parlimen iaitu tujuh di Seberang Perai dan enam di bahagian pulau.

Bagi kawasan DUN, Pulau Pinang mempunyai 40 kawasan iaitu 19 kawasan di bahagian pulau dan 21 kawasan di Seberang Perai.

Pada PRU -12, pakatan pembangkang membentuk kerajaan negeri apabila DAP memenangi 19 kerusi DUN , Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi sembilan kerusi dan Pas menang satu kerusi iaitu di Permatang Pasir.

Barisan Nasional (BN) pula memenangi 11 kerusi yang kesemuanya di wakili oleh Umno.

DAP menang tujuh kerusi parlimen, PKR memenangi empat kerusi manakala Barisan Nasional hanya memenangi dua kerusi iaitu Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor.5028