Ramalan bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin yang Barisan Nasional (BN) bakal memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 selain menyifatkan pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bukan calon yang sesuai untuk mentadbir negara sekaligus bergelar Perdana Menteri, menimbulkan pelbagai reaksi.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Idris Haron berkata, Daim cukup dikenali sebagai seorang yang bijak dalam memberi pendapat yang berlandaskan fakta dan hasil penyelidikan yang teliti.

“Daim pernah meramalkan bahawa pihak pembangkang akan menumbangkan BN di lima buah negeri sebelum ini, namun pada kali ini beliau melihat BN mampu bangkit semula atas beberapa faktor terutamanya hasil usaha keras Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Rakyat telah pun memberi peluang kepada Pakatan Rakyat (PR) untuk memerintah di beberapa negeri, namun mereka tidak mampu menangani isu-isu asas seperti masalah air.

“Contoh paling ketara ialah, Anwar mendakwa mereka berpegang teguh pada demokrasi.

"Namun bagi saya mereka gagal untuk mempamerkan semangat kesepaduan di antara anggota PR sendiri. Ini berikutan kesemua mereka bertanding menggunakan logo yang berbeza yang melambangkan parti masing-masing,” kata Idris ketika dihubungi Astro Awani.

Idris juga berkata beliau percaya bahawa ramalan Daim akan menjadi kenyataan.

Penyelaras Putera MIC, P. Kamalanathan pula berkata, bagi saya ramalan Daim adalah berasaskan banyak faktor yang tepat berkenaan siapakah yang lebih sesuai menyandang gelaran PM.

“Najib ialah pilihan yang lebih baik pada pendapat saya.

“Saya percaya kesemua usaha keras kerajaan dalam membantu rakyat selain menaikkan nama negara bakal diterjemahkan dalam kemenangan pada PRU ke 13”, kata Kamalanathan.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, tiada siapa yang boleh meramalkan apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

“Ianya sangat jelas bagaimana Daim dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bekerjasama dalam menjatuhkan Pak Lah selepas beliau dilantik menjadi Perdana Menteri satu ketika dahulu.

“Kini, memandangkan BN menghadapi ancaman daripada PR, Daim dan Mahathir sekali lagi berganding bahu untuk memastikan kemenangan BN,” katanya.

Menurut Naib Pengerusi Dap, M. Kulasegaran, Daim sendiri bukan seorang calon BN yang sesuai dan sebab itu dia tidak dicalonkan bertanding sewaktu PRU-12.

“Biarkan pengundi membuat keputusan mereka tentang siapa yang lebih layak menjadi PM mahupun pihak yang akan menang dalam PRU akan datang, bukannya Daim.

“Saya juga percaya Daim sememangnya seorang jurucakap bagi BN, bagaimanapun dia bukan tukang tilik yang boleh meramal hasil keputusan pilihan raya nanti,” ujar Kulasegaran.

Daim dalam laporan New Sunday Times hari ini berkata BN hanya memerlukan sokongan daripada golongan atas pagar untuk memenangi PRU-13 kerana ia mempunyai lebih empat juta undi melalui ahli parti-parti komponen.

Daim juga berkata, jika diberi pilihan antara Najib dan Anwar, dia akan memilih Najib.

“Najib seharusnya diberi peluang untuk melakukan transformasi terhadap negara selain saya berpendapat Anwar bukan calon yang tepat sebagai Perdana Menteri.

“Saya percaya Anwar akan merosakkan negara dengan mendapatkan nasihat daripada pihak luar seperti IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) dan Paul Wolfowitz, sekaligus menjadi punca campur tangan pihak luar terhadap Malaysia.

“Saya akan menyokong Najib, bagaimanapun beliau harus berusaha keras membanteras rasuah dan jenayah disamping mengukuhkan keselamatan negara,” katanya kepada New Sunday Times.

Daim turut menggesa rakyat Malaysia untuk memberikan mandat kepada Najib.