Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong penuh cadangan yang dilontarkan oleh bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan muka baru dalam kabinetnya jika Barisan Nasional berjaya membentuk kerajaan sekali lagi selepas Pilihan Raya Umum ke-13, (PRU-13).

Katanya, pengisian kabinet dengan muka-muka baru akan membantu mengukuhkan lagi sokongan rakyat kepada Perdana Menteri serta menambah keyakinan semua pihak terhadap kerajaan.

"Ya, saya bersetuju dengan beliau sepenuhnya. (Kayu mati) perlu dicincang dan dibuang supaya pokok baru boleh ditanam, "katanya kepada pemberita selepas melancarkan Human Life Advancement Foundation (HLAF) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Dalam satu wawancara yang diterbitkan dalam New Sunday Times pada Ahad lalu, Daim berkata kebanyakan menteri kabinet sekarang "sudah melepasi tarikh luput".

Sementara itu, mengulas mengenai tarikh sesuai pilihan raya umum, Dr. Mahathir berkata jika beliau masih lagi Perdana Menteri, Parlimen telah pun dibubarkan tahun lepas.

"Jika saya (masih) Perdana Menteri, saya akan bubarkan parlimen untuk pilihan raya tahun lepas. Semua menunggu ini ... satu bulan, dua bulan, tiga bulan ... ia tidak pernah berhenti," katanya.

Pada sidang media sama, Dr Mahathir menjelaskan kenyataan beliau sebelum ini bahawa Perdana Menteri boleh dipaksa untuk meletakkan jawatan jika BN gagal untuk melaksanakan yang lebih baik daripada pilihan raya 2008 hanya teori semata-mata dan menjangka Presiden UMNO akan melakukan yang terbaik dalam pilihan raya umum akan datang.

Dr. Mahathir juga menegaskan beliau tidak mempunyai sesiapa dalam fikirannya sebagai calon untuk menjadi Perdana Menteri yang baru menggantikan Najib dan berharap BN memperolehi keputusan cemerlang dalam PRU-13.

"Saya tidak mempunyai mana-mana calon (untuk menjadi perdana menteri). Saya tidak menjangkakan ia akan berlaku tetapi saya berkata secara teorinya sahaja.

"Saya berkata secara teorinya jika dia tidak berbuat baik sudah tentu kedudukannya tidak akan stabil tetapi saya tidak mencadangkan calon atau apa-apa seperti itu," katanya lagi.