Bersama ini disertakan transkrip wawancara khas BernamaTV dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang disiarkan dalam program 'Helo Malaysia' di saluran Astro502 malam ini.

S: Datuk Seri sangat terharu dengan perkataan Nambikei, apa yang menyebabkan Datuk Seri tertarik dengan perkataan Nambikei ini?

J: Saya tertarik pada perkataan Nambikei ini sebab Nambikei ini mencerminkan apa yang merupakan hasrat dalam parti saya, iaitu kerajaan dengan masyarakat kaum India di Malaysia ini perlu memupuk satu bentuk persefahaman dan keyakinan sebagai satu jambatan untuk kita saling bantu membantu, bagi pihak kerajaan untuk kita mengetahui apakah sebenarnya impian dan kehendak masyarkat kaum India. Dan berdasarkan pada itu, kerajaan boleh bertindak dan respons dengan pelbagai program dan pelbagai bantuan untuk meningkatkan taraf dan kualiti hidup masyarakat kaum India.

S: Jadi, setakat ini, Perdana Menteri sudah percaya adakah tuntutan itu nyata?

J: Saya yakin dan percaya bahawa masyarakat kaum India sudah mempunyai tahap kepercayaan kepada kerajaan BN yang semakin meningkat, dan tahap keyakinan mereka ini pada masa ini adalah tinggi, dan saya berharap bukan sahaja untuk mengekalkannya tetapi berdasarkan kepada usaha berterusan supaya tahap keyakinan ini terus meningkat kepada masa-masa yang akan datang.

S: Sejak Datuk Seri mengambil alih kepimpinan kerajaan pada 3 April 2009, pelbagai usaha telah dilakukan untuk membantu rakyat pelbagai kaum. Salah satu fokus utama Datuk Seri ialah pada masyarakat kaum India yang dianggap penyokong kuat BN sejak merdeka lagi. Apakah masalah utama yang telah dikenal pasti oleh Datuk Seri dan langkah yang diambil untuk membantu mereka?

J: Sejak saya Timbalan Perdana Menteri lagi, saya telah mengenal pasti bahawa masalah kaum India mesti diberi perhatian yang lebih daripada biasa. Sebab itulah, saya telah mencadangkan pada masa itu kepada Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi supaya kita tubuh satu jawatankuasa kabinet mengenai Hal Ehwal India dan saya mempengerusikan jawatankuasa kabinet itu.

Dan sejak langkah tersebut, pelbagai usaha dan program telah kita lakukan, antaranya menyelesaikan masalah kira-kira 7,000 individu yang tiada kewarganegaraan dan tiada sijil kelahiran. Kita telah mengenal pasti masalah pendidikan sebab banyak Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil berada dalam keadaan daif dan memerlukan bantuan kerana asas pada kita, memajukan dan membangunkan masyarakat kaum India mestilah melalui peningkatan dalam bidang pendidikan.

Kita telah menyediakan bantuan mikro kredit kepada masyarakat kaum India melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), melalui Tekun, umpamanya, lebih daripada 5,000 pengusaha India telah dapat bantuan daripada AIM dan Tekun. Kita juga telah menyelesaikan masalah-masalah lain seperti tempat untuk membakar mayat atau krematorium umpamanya, dan juga penyertaan NGO2 mewakili kaum India seperti Sri Murugan Centre (SMC) dan sebagainya, dan juga inisiatif untuk menambahkan tempat matrikulasi untuk masyarakat kaum India daripada 500 menjadi 1,500. Ini semua merupakan langkah-langkah tambahan baharu yang dilakukan oleh kerajaan.

S: Namun begitu, masih ada pihak yang mempertikaikan mengenai keberkesanan jawatankuasa tersebut.

J: Kita telah melakukan banyak perkara dan hasilnya dapat kita lihat dan dapat kita nilai, tetapi saya berharap pada masa akan datang, kita boleh menambahkan lagi bantuan kita untuk masyarkat kaum India.

S: Datuk Seri, setakat ini, bantuan kepada orang miskin telah diambil, pada pandangan Datuk Seri, adakah langkah itu mencukupi atau akan ditambah lagi?

J: Kita perlu meneruskannya dan kalau kita ada kemampuan, menambahkan lagi bantuan untuk golongan miskin dan berpendapatan rendah tetapi apa juga kita lakukan mestilah berdasarkan kepada ekonomi negara kita yang terus dapat kita kembangkan, sebab apabila kita boleh menjana kekayaaan, kekayaan itu boleh diagihkan kepada mereka yang berpendapatan rendah dan juga golongan yang miskin. Tanpa ekonomi yang berkembang dan hasil negara yang bertambah, kita akan menghadapi kesukaran untuk menambah bantuan kepada golongan-golongan seperti ini.

S: Adakah masyarakat India menghargai sumbangan dan jasa ini?

J: Saya percaya mereka menghargainya, di mana-mana saya pergi perjumpaan yang dihadiri oleh masyarakat kaum India, kadang-kadang khusus untuk masyarakat kaum India, kita boleh melihat bilangannya, ramai yang hadir. Saya percaya mereka yakin bahawa kerajaan adalah ikhlas untuk membantu masyarakat kaum India dan mereka percaya bahawa jika diberi sokongan, maka dalam tempoh lima tahun akan datang, lebih banyak lagi yang boleh kita lakukan.

S: Datuk Seri, ada juga pandangan daripada orang ramai bahawa peruntukan untuk kuil diturunkan dan disalurkan kepada sekolah dan projek-projek seperti Tekun supaya lebih ramai orang dapat manfaat.

J: Itu terpulang kepada masyarakat kaum India, tetapi saya terima banyak permohonan untuk membantu dibangunkan kuil dan sebagainya. Saya faham dari segi keperluan keagamaan pada masyarakat kaum India, kuil memainkan peranan yang besar dalam kehidupan masyarakat kaum India. Tetapi sebaliknya, jika kaum India berasakan sedemikian, maka kerajaan boleh berbuat demikian. Ini terpulang kepada keutamaan yang diberikan oleh masyarakat kaum India sendiri, kita bersikap terbuka dalam hal ini.

S: Pada pandangan Datuk Seri, adakah kaum India berperanan menyumbang kepada pembangunan negara ini?

J: Ya, tentu sekali. Saya telah memberi pengakuan atas perkara ini, bukan sekali tetapi beberapa kali, bahawa bermula dengan peranan mereka di ladang estet yang amat terkenal atas usaha mereka maka Malaysia menjadi pengeluar getah nombor satu di dunia dan kita dapat hasil eksport yang tinggi. Begitu juga, dengan masyarakat kaum India yang mengendalikan sistem kereta api kita, JKR dan sebagainya, jadi sumbangan masyarakat kaum India adalah besar dalam konteks pembangunan negara kita yang tidak harus kita lupakan.

S: Itu sebelum, bagaimana sekarang?

J: Itu sebab kita mesti menyediakan program-program tertentu untuk menguruskan transisi mereka daripada masyarakat yang hidup di ladang kepada masyarakat yang hidup di bandar, misalnya. Itu sebabnya kita perlu melihat kepada soal pendidikan, kemahiran, perumahan, pinjaman mikro kredit dan sebagainya.

S: Datuk Seri, kaum India adalah kaum ketiga terbesar di negara ini. Apakah kedudukan mereka dalam strata pembahagian sosial ekonomi negara ini?

J: Kita perlu tingkatkan lagi sebab dalam beberapa aspek, mereka tidak dapat menguasai jumlah dana atau kekayaan yang setimpal dengan kedudukan mereka, misalnya dari segi ekuiti kaum India, tidak dapat mencapai sasaran tiga peratus lagi dan saya telah buat komitmen bahawa kita akan bantu untuk jumlah penyertaan ekuiti kaum India ditingkatkan lagi. Begitu juga dengan kewujudan kelas menengah kaum India, dan ini pun perlu kita beri bantuan lagi supaya mereka yang dapat kelulusan sebagai profesional dapat kita tambah lagi.

S: Datuk Seri, mengenai ekuiti, ramai pihak yang mempersoalkan keberkesanan pelaksanaan kerajaan sehingga mereka tidak mempercayai MIC, dengan kerenahnya. Mereka mengatakan MIC tidak pandai mengatur program atau pelan-pelan pembangunan untuk masyarakat India dan meningkatkan ekuiti.

J: Kita boleh membantu MIC dalam hal ini. Mungkin ada beberapa usaha mereka yang tidak mencapai kejayaan seperti yang diharapkan tetapi dengan inisiatif baharu yang boleh kita lakukan, saya percaya jumlah penyertaan ekuiti kaum India dapat dikembangkan kepada tahap sekurang-kurangnya tiga peratus.

S: Sebab ada cadangan daripada orang ramai yang mahukan campurtangan kerajaan secara terus-menerus untuk membantu meningkatkan ekuiti.

J: Saya percaya sedemkian, saya percaya intervensi kerajaan adalah amat perlu, jika tidak, mungkin jumlah sasaran ekuiti itu sukar untuk dicapai.

S: Apakah peranan yang boleh dimainkan oleh kaum India dalam pembangunan politik tanah air dan memastikan BN terus menerajui kepimpinan negara ini terutamanya semasa PRU13 yang semakin hampir.

J: Masyarakat kaum India ada peranan yang besar sebab, walaupun tidak ada satu pun kawasan parlimen atau DUN di mana masyarakat kaum India merupakan majoriti, tetapi walaupun mereka bukan merupakan majoriti, dengan jumlah peratusan yang ada di banyak kawasan, mereka boleh menjadi kuasa penentu di satu-satu kawasan. Kita lihat bahawa prestasi BN merosot pada tahun 2008, salah satu daripada faktornya ialah kerana pengurangan sokongan kaum India kepada BN. Tetapi saya percaya keadaan ini telah pun dapat dipulihkan, sebab wujudnya sekarang nambikei.

S: Berdasarkan kepada apakah keyakinan itu?

J: Ada beberapa faktor, kita telah buat kajian, tetapi ada faktor yang realiti, ada faktor yang emosi dan sebagainya berdasarkan kepada persepsi tertentu tetapi ke hadapan, kita lihat bahawa masyarakat kaum India lebih yakin kepada BN, umpamanya di Selangor, kita tidak ada satu kuil pun yang telah dimusnahkan oleh BN, sebaliknya kerajaan negeri telah mengambil tindakan terhadap beberapa kuil termasuk kuil persendirian, di sebuah rumah di Sepang pun telah diambil tindakan untuk merobohkan kuil tersebut. Jadi, maknanya apa yang mereka kata pada kita, sekarang ini nampaknya mereka melakukan dengan lebih dahsyat lagi.

S: Datuk Seri, sebagai rakyat, kami amat prihatin mengenai kesihatan dan kebajikan Datuk Seri. Adakah Datuk Seri cukup tidur dan rehat, dan adakah Datuk Seri secara mental dan fizikal fit untuk menghadapi pilihan raya?

J: InsyaAllah, saya tak nampak begitu letih kan? Saya masih segar lagi (kami prihatin Datuk Seri, kami tengok Datuk Seri ke sana ke sini) Ya, memang itu tugas saya sebagai Perdana Menteri. Saya tak boleh complain. Ada orang kata...apa nama, kadang-kadang saya mengeluh juga tetapi kawan-kawan saya kata itulah, itu tugas Perdana Menteri dan saya pegang pada satu falsafah yakni kalau saya pegang sesuatu jawatan, sesuatu tugas yang diamanahkan kepada saya, saya nak lakukan dengan yang sebaik mungkin yang termampu oleh saya dan saya tidak berpuas hati melainkan saya tak melakukan sedemikian rupa. Jadi saya betul-betul komited untuk melakukan yang terbaik untuk negara kita. (Kita yakin dan percaya pada Datuk Seri) Terima kasih.


S: Berbalik kepada sokongan kaum India, di berapa negerikah kaum India boleh memainkan peranan dalam pilihan raya akan datang? Datuk Seri melihat secara negeri atau pun secara holisitik, menyeluruh?

J: Ya, banyak. Negeri dan juga kawasan tertentu misalnya Selangor, Perak, Pulau Pinang, Johor, mungkin Negeri Sembilan, Kedah, belah selatan Kedah, kawasan-kawasan ini sokongan kaum India boleh menentukan menang kalah sesuatu kawasan.

S: Datuk Seri, selain MIC, parti-parti yang macam penyokong kuat Barisan Nasional macam IPF, PPP dan NGO juga sedang menunjukkan sokongan kepada Barisan Nasional. Bagaimana Datuk Seri melihat perkembangan tersebut?

J: Ya, saya lihat apa yang kita kata rakan BN dan juga NGO yang mana kita telah melakukan engagement dengan mereka, kita telah beri bantuan kepada mereka dan mereka telah menunjukkan sikap yang begitu positif pada BN, sanggup bekerja, bukan sahaja sokong tapi sanggup bekerja untuk memastikan kemenangan untuk BN dan saya begitu terharulah dengan sokongan mereka yang semakin meningkat.

S: Ini mengenai perniagaan kaum India. Ramai kaum India ingin memulakan perniagaan kecil-kecilan namun mereka berhadapan pelbagai masalah termasuk mendapatkan lesen daripada pihak kerajaan tempatan. Bolehkah kerajaan membantu kaum India mengatasi masalah ini?

J: Boleh. tetapi kita tak control semua kerajaan negeri di mana kerajaan negeri bawah Barisan Nasional kita boleh membantu mereka untuk memperoleh lesen untuk berniaga, lesen untuk bawa teksi. Baru-baru ini, saya bagi lesen untuk bawa teksi, dalam 200 orang yang dapat lesen individu, ramai juga yang mewakili kaum India, terdiri daripada mereka yang daripada kaum India yang menerima lesen individu, di bawah program Tukar yang kita lakukan ini untuk upgradekan kedai runcit, kita lihat bahawa ada juga penyertaan masyarakat kaum India dalam program seperti tersebut. 1Azam, Amanah Ikhtiar Malaysia, Tekun, sudah ada program untuk bantu masyarakat kaum India.

S: Tapi masalah yang dihadapi, masalah yang tertekan adalah untuk mendapatkan lesen.

J: Ya, kita boleh beri perhatian kalau ada masalah dalam hal ini. Saya akan beri perhatian dalam hal ini.

S: Mungkinkah peruntukan macam Tukar, Amanah Ikhtiar Malaysia ini ditingkatkan lagi pada masa akan datang?

J: Boleh, memang boleh tapi semuanya ini memang boleh kita lakukan dengan syarat ekonomi kita berkembang dan hasil negara bertambah. Bila hasil negara bertambah kita percaya pada konsep berkongsi kekayaan negara kita supaya kekayaan kita dibahagikan secara adil dan saksama.

S: Mengenai soalan sama, ada permintaan dalam tiga peratus bajet khusus untuk masyarakat India. Boleh tak dipertimbangkan?

J: Kita lihat bahawa peruntukan untuk masyarakat kaum India sudah bertambah sebenarnya misalnya peruntukan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, sekarang ini saya sebut Amanah Ikhtiar dan sebagainya dan ada juga yang kita tidak klasifikasikan ikut kaum macam BR1M umpamanya, BR1M itu semua orang yang berpendapatan RM3,000 ke bawah akan dapat bantuan BR1M termasuk bantuan persekolahan RM100 itu, bantuan Baucer Buku dan sebagainya. Jadi, kalau kita hendak kira hendak hitung bantuan untuk masyarakat kaum India kita jangan lupa ada yang khusus untuk kaum India dan adalah untuk semua yang layak termasuklah mereka yang daripada masyarakat kaum India juga.

S: Saya tertarik dengan isu sekolah. Baru-baru ini, kerajaan telah meluluskan lesen untuk tujuh buah sekolah baharu dan ada juga harapan daripada masyarakat India yang mahukan sebuah sekolah di Putrajaya sebab sudah ada kelulusan untuk sebuah kuil dan mungkin tak pada masa akan datang sebuah sekolah akan dibina di Putrajaya?

J: Boleh kalau ada demand ada permintaan kita boleh timbangkan.

S: Datuk Seri, masalah memiliki rumah sendiri dalam kalangan masyarakat India masih kurang dan tidak memuaskan dan mereka tak mampu beli rumah mahal jadi bagaimanakah Datuk Seri menyelesaikan masalah ini?

J: Sebab itu kita lancarkan program PRIMA, PR1MA untuk berpendapatan sederhana dan sederhana rendah maknanya antara RM2,500 hingga RM7,000. Kelompok ini biasanya terlepas daripada program kerajaan, sebab itu kita buat PR1MA di mana kita memberi subsidi kepada harga rumah umpamanya harga tanah itu kita bagi tanah percuma, ataupun kita bagi facilitation fund untuk persediaan prasarana. Rumah-rumah boleh dijual dengan harga antara 20-30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran. Tambah lagi kita buat program PPR, projek perumahan rakyat, program tersebut melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan perumahan itu menyediakan rumah-rumah untuk golongan berpendapatan rendah.

S: Datuk Seri, harapan Datuk Seri kepada kaum India dalam membantu BN perhebatkan transformasi negara dan mencapai kejayaan 1Malaysia. Apakah harapan Datuk Seri?

J: Harapan saya adalah mereka untuk menyokong kuat Barisan Nasional sebab kita telahpun membuktikan bahawa bantuan kita untuk masyarakat kaum India di bawah program yang telah kita lancarkan empat tahun ini, jauh lebih besar dan jauh lebih banyak daripada apa yang dilakukan oleh pembangkang dalam keempat-empat negeri yang ditadbir oleh mereka. Kita boleh senaraikan dan rakyat boleh menilai sendiri. Ini bukan kenyataan politik, ini fakta yang sebenarnya.

S: Masyarakat India menganggap Datuk Seri sebagai pemimpin yang paling prihatin terhadap masyarakat mereka, kebajikan mereka. Datuk Seri mengambl berat tentang masyarakat India. Bagaimana Datuk Seri dapat mendekati mereka dengan begitu mudah?

J: Sebab saya sedar bahawa masyarakat kaum India ketinggalan, saya sedar bahawa tentu sekali mereka hidup di estet sebagainya menghadapi tekanan hidup untuk melakukan transisi kepada masyarakat bandar umpamanya. Sebab itu saya rasakan terpanggil untuk melakukan sesuatu, sebab saya berpegang kepada satu prinsip utama yakni sebagai ketua kerajaan dan kerajaan, kita mesti berlaku adil kepada semua, dan inilah menjadi falsafah yang saya pegang dan saya amalkan.

S: Baru-baru ini, saya berbual dengan seorang, beliau berkata beliau menyokong Datuk Seri tetapi tidak menyokong MIC, saya agak pelik dan saya tanya balik mengapa? dan beliau berkata Datuk Seri is our man, prime minister, he is helping the Indians. Beliau membantu masyarakat India tetapi saya tidak menyokong mana-mana parti yang mewakili masyarakat India, tetapi saya menyokong Datuk Seri. Begitu setia dengan Datuk Seri.

J: Terima kasih. Sistem kita ini merupakan sistem demokrasi berparlimen. Nama saya tiada pada kertas undi yang mewakili saya ialah di setengah kawasan-kawasan tertentu adalah wakil daripada parti MIC. Jadi, mereka mesti anggap calon MIC itu sebahagian daripada pasukan saya. Jadi, mereka nak saya terus berkhidmat memimpin negara sebagai Perdana Menteri, mereka perlulah menyokong calon Barisan Nasional, bukan bererti bahawa berdasarkan kepada individu berkenaan tetapi penting siapa yang akan menubuhkan kerajaan pada masa akan datang dan siapa akan jadi perdana menteri pada masa yang akan datang.


S: Datuk Seri, saya rasa persepsi itu bukan sahaja dalam kalangan MIC tetapi MCA dan Gerakan.

J: Itu satu yang mereka mesti sedar walaupun sekali imbas merupakan satu dilema, tetapi dilema ini boleh diselesaikan dengan mereka menyokong sesiapa yang merupakan calon BN. Sebab calon BN itu adalah calon daripada pasukan saya dan kalau mereka nak saya sebagai ketua pasukan, mereka kena sokong sesiapa yang mewakili pasukan saya.

S: Datuk Seri, sejak kebelakangan ini pembangkang sering memakai isu berkenaan dengan masyarakat India, antaranya mengenai kekurangan pegawai dalam sektor awam. Apakah langkah-langkah yang sedang diambil oleh kerajaan meningkatkan masyarakat India dalam sektor awam?

J: Kita dah minta supaya bilangan masyarakat kaum India sebagai kemasukan dalam perkhidmatan awam dapat ditambah, perkara ini telah pun disampaikan kepada SPA dan saya percaya mereka sedang mengambil tindakan untuk merekrut lebih ramai orang India dalam perkhidmatan awam.

S: Bagaimana dengan kenaikan pangkat, Datuk Seri, juga ada rungutan daripada kaum India.

J: Iyalah, kita hendak kenaikan pangkat ini berdasarkan kepada kebolehan mereka dan ada beberapa pegawai yang kita lantik berdasarkan pada kebolehan mereka seperti Pengerusi Security Commision, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan sebagainya. Kita lantik berdasarkan bahawa mereka ini paling layak menyandang jawatan-jawatan tersebut.

S: Datuk Seri, terdapat persepsi bahawa majoriti akhbar Tamil condong ke arah pembangkang. Komen.

J: Saya tidak terima sebab sebahagian besar akhbar bahasa Tamil, ada juga yang bagi tempat untuk pembangkang dan ada juga tempat untuk kita. Tapi ini dalam sistem demokrasi kita tak boleh nak halang mereka untuk memberi space ataupun memberi peluang kepada pembangkang untuk membuat liputan kepada pembangkang.

Namun, kita akan teruskan engagement kita dengan akhbar-akhbar Tamil supaya mereka memberi gambaran yang sebenarnya tentang dasar-dasar kerajaan dan langkah-langkah yang kita telah buat untuk membantu masyarakat kaum India, umpamanya. Kita telah huraikan satu persatu apa yang dilakukan oleh kita, kerajaan BN berbanding dengan pembangkang dan amat jelas bahawa bantuan kita jauh lebih tinggi daripada apa yang dilakukan oleh mereka.

S: Soalan utama yang sering dibangkitkan oleh masyarakat India adalah berkenaan sistem kuota. Datuk Seri, masyarakat India makin hari makin meningkat, pencapaian kami juga terus meningkat, sistem kuota yang ditetapkan satu ketika dahulu adalah berdasarkan kepada jumlah penduduk yang ada pada masa tersebut. Contoh, jika 100 pelajar mendapat semua A dalam SPM, kini sudah ada 200 pelajar berjaya mendapat semua A dalam SPM, namun bukan semua dalam kalangan itu dapat masuk dalam bidang yang mereka minati di IPTA. Justeru itu, kami mahu kerajaan merombak sistem kuota yang ada kerana mereka ini adalah human capital yang bernilai kepada negara.

J: Pada prinsipnya, kita tidak pakai sistem kuota, kita pakai sistem merit. Apabila kita pakai sistem merit, kita dapati bahawa pencapaian pelajar-pelajar kaum India tidak begitu menggalakkan malah sistem kuota dulu, peratusan mereka lebih baik lagi.

Sebab itu, sekarang ini kita terpaksa melaksanakan beberapa program tertentu untuk menambahkan lagi penyertaan masyarakat kaum India di IPTA umpamanya baru-baru ini, saya telah melancarkan satu program mengubah destini anak bangsa di Port Dickson di mana kita cuba mengisi sekurang-kurangnya 10 peratus tempat di politeknik untuk masyarakat kaum India. Saya telahpun ambil keputusan bahawa di peringkat matrikulasi, daripada 500 pelajar kaum India ditambah kepada 1,500 pelajar kaum India. Jadi, ini menunjukkan bahawa usaha kerajaan adalah sangat bersungguh-sungguh dan dalam beberapa tahun lagi saya percaya penyertaan masyarakat kaum India di IPTA akan bertambah lagi.

S: Kerajaan melaksanakan pelbagai usaha dalam membentuk insentif dalam bantuan dana dan sebagainya bagi menaiktaraf kehidupan masyarakat India di negara ini. Namun kebanyakan inisiatif masyarakat ini tidak sampai kesemua kaum India yang sepatutnya mendapat manfaat itu. Justeru itu, kami berpendapat proses pelaksanaan itu perlu ditingkatkan supaya motif sebenar bantuan itu dapat dicapai.

J: Kita sedar bahawa kadang-kadang dia ada kelemahan dari segi pelaksanaan sebab itu, kita buat pasukan yang turun padang untuk menyelesaikan masalah soal kewarganegaraan dan sijil kelahiran umpamanya. Kita tak tunggu mereka datang ke pejabat pendaftaran, kita buat pasukan yang turun ke bawah.

Bila ada macam hari Thaipusam umpamanya, kita buat, bila ada majlis keagamaan di Batu Caves, kita buka gerai di situ, di mana jabatan-jabatan kerajaan membuka kaunter di mana mereka boleh menerima rayuan ataupun aduan daripada masyarakat kaum India melalui cara seperti ini kita dapat feedback akan apa masalah sebenarnya dan kelemahan-kelemahan dari segi pelaksanaanya. Saya bersedia untuk melakukan penambahbaikan. Kalau masih ada lagi kelemahan-kelemahan ataupun ketidak sampaian bantuan-bantuan yang diberikan oleh kerajaan, tolong bagi saya contoh-contoh spesifik, supaya saya boleh ambil apa-apa tindakan yang sepatutnya.

S: Datuk Seri, mengenai MyDaftar. Keberkesanan MyDaftar?

J: Bagus, banyak kes yang telah kita selesaikan dan dalam masa tidak lama lagi, saya akan adakan satu lagi majlis untuk menyampaikan sijil kewargenegaraan dan juga sijil kelahiran kepada masyarakat kaum India dan kaum lain. Besar juga saiz yang sedang menunggu angkanya daripada KDN.

S: Kemudahan orang awam, adakah terdapat plan untuk menubuhkan mobile service centre?

J: Mobile service centre kita buat melalui bila ada pameran-pameran tertentu yang melibatkan kita tahu ramai masyarakat kaum India di situ, kita boleh buka kaunter, yang mana mereka boleh berurusan dengan jabatan-jabatan kerajaan yang berkenaan, begitu juga dengan pasukan yang turun padang yang saya sebut tadi.

Melalui program MyDaftar ini, memang mereka turun padang pergi ke tempat-tempat yang mana terdapat ramai kaum India yang tinggal di situ dan mereka jumpa dan menyelesaikan masalah mereka. Jadi dengan cara seperti ini, saya percaya banyak perubahan boleh berlaku termasuk juga UTC dan RTC yang kita nak bina di tiap-tiap negeri misalnya kita buka Urban Transformation Centre, kita nak buka di KL, Melaka, Ipoh, dan tiap-tiap ibu negeri. Jadi, mereka dalam negeri berkenaan tak perlu datang ke Kuala Lumpur, mereka pergi ke pusat bandar dan mereka boleh berurusan dengan jabatan-jabatan kerajaan berkenaan.

S: Ada setengah pihak termasuk masyarakat India yang mahukan diberi peluang mereka mengatakan pembangkang harus diberi peluang untuk memimpin kerajaan negara ini. Apakah Datuk Seri bersetuju dengan pandangan ini?

J: Apa yang penting ialah siapakah yang akan membawa kebaikan untuk negara kita? Siapakah yang lebih mampu untuk membawa Malaysia ke mercu kejayaan. Saya tidak nampak setakat ini dalam pembangkang mereka mempunyai satu ikatan yang ampuh. Mereka tidak mempunyai, tidak berdaftar sebagai satu parti, mereka bertanding tiga parti yang berasingan dan ketiga-tiga parti itu ada ideologi yang amat berbeza antara satu sama lain.

Apakah ini boleh memberi keyakinan mereka boleh mentadbir negara kita dengan baik kalau mereka bercanggah tentang perkara fundamental, perkara tentang hala tuju, dasar induk dan sebagainya terutama sekali antara DAP dan PAS, begitu bercanggah sekali. Dan, mereka tidak ada pengalaman malah ketua pembangkang, kita tahulah rekod dia dalam kerajaan dulu bagaimana dan sebagainya dan tidak ada apa-apa keyakinan bahawa berubah untuk semata-mata untuk mencari perubahan bukan sesuatu yang bijak.

Sebaliknya, kita mesti berubah di mana perubahan itu mendatangkan satu yang jauh lebih baik daripada sedia kala dan saya beri jaminan bahawa kerajaan Barisan Nasional mampu membawa perubahan yang besar kepada negara kita dan ini kita telah buktikan dalam tempoh masa empat tahun ini dan saya percaya jika diberi mandat lima tahun akan datang, InsyaAllah, kita akan melakukan jauh lebih baik lagi pada masa akan datang.


S: Datuk Seri pasti mempunyai wawasan untuk melihat konsep 1Malaysia diterima dan diamalkan rakyat untuk jangka masa panjang. Apakah yang patut pemimpin BN buat dan apakah harapan Datuk Seri daripada mereka?

J: Ya, untuk mereka dapat memahami apakah sebenarnya gagasan 1Malaysia itu bererti bahawa kita perlu membawa kefahaman kita pada peringkat di mana kepelbagaian itu kita bukan sahaja serasi tetapi kita meraikan. Biasa saya terangkan bahawa dia ada tiga peringkat, pertama peringkat toleran, kedua peringkat menerima, ketiga paling kemuncak untuk meraikan. Ini bermakna bila kita meraikan kepelbagaian itu kita sudah begitu serasi dengan konsep kepelbagaian ataupun multi-racial society dalam negara kita dan inilah yang saya hasratkan supaya dalam pemikiran kita, dalam sistem nilai kita, dari segi sikap kita, kita begitu serasi dengan konsep 1Malaysia itu.

S: Berbalik kepada masyarakat India. Adakah Datuk Seri merasakan bahawa Datuk Seri telah memahami cabaran, masalah dan impian masyarakat India di negara ini?

J: Pada asalnya saya faham, tetapi saya tidak menyatakan bahawa saya tahu segala-galanya sebab itulah saya dengan perasaan rendah diri saya kata era kerajaan tahu segala-galanya sudah berakhir dan kerana itulah saya melakukan engagement dengan pelbagai pihak dan ini saya beri jaminan akan saya teruskan lagi pada masa akan datang. Bila kita melakukan engagement, kita dapat merasai denyut nadi rakyat dan kita fahami apakah aspirasi rakyat dan dengan itu kita boleh mengubahsuai hala tuju dan juga dasar serta melahirkan program baharu yang boleh membawa kepada keberkesanan dalam usaha kita membantu masyarakat kaum India dan juga masyarakat lain di dalam negara kita.

S: Perasaan Datuk Seri selepas dapat mendekati masyarakt India secara lebih dekat selepas menjadi PM dan membawa perubahan?

J. Saya merasakan suatu kepuasan sebab kita tidak pernah melakukan begini banyak usaha untuk bantu kaum India dan kita telah menambah pelbagai program, peruntukan dan pendekatan dan sebagainya. Jadi, saya dapat merasakan satu kepuasan bahawa saya dapat mengubah kehidupan ribuan masyarakat individu kaum India.

S: Datuk Seri, terdapat satu persepsi masyarakat India, kerajaan mengambil masa begitu lama untuk melaksanakan komitmen dan perancangan. Komen.

J: Kita ada juga kelemahan-kelemahan kita dulu, sebab itu kita akui kita buat kelemahan dan kita berjanji bahawa kita tidak akan mengulangi kelemahan itu.

Sebaliknya, saya beri satu pengakuan terhadap masyarakat kaum India bahawa kita akan membetulkan segala-galanya dan kita membuka satu era baharu dalam usaha kita untuk meningkatkan taraf hidup dan kualiti hidup masyarakat India, beri peluang lebih besar kepada mereka supaya mereka ini tidak merasa terpinggir dan masyarakat kaum India akan merasakan mereka juga dibela oleh kerajaan.

S: Datuk Seri, saya tertarik dengan slogan Janji Ditepati, apakah segala janji ini ditepati?

J: Itulah orang kata branding kita, Janji Ditepati, tetapi branding itu menepati realiti, seperti mana kita tahu pembangkang di negeri-negeri yang mereka tadbir, sebahagian besar janji-janji 2008 tidak ditepati oleh mereka. Sebab itu, kita harus tanya pada diri kita, kalau janji dulu tak ditunaikan, apakah keyakinan kita janji-janji baharu ini akan ditunaikan oleh mereka.

S: Nasihat Datuk Seri kepada rakyat Malaysia supaya terus bersatu padu dan kekalkan perpaduan yang kukuh yang sudah terjalin sekian lama.

J: Ini merupakan soal asas kepada negara kita, sebab saya yakin bahawa masa depan Malaysia hanya terjamin kalau kita dapat bentuk satu masyarakat multiracial yang bersatu padu, dan ini mesti berpaksi kepada sebuah kerajaan berbilang kaum yang mendapat mandat yang kuat dan kukuh daripada rakyat, sebab kerajaan yang kuat itulah jaminan kepada kestabilan negara kita.

S: Harapan Datuk Seri kepada masyarakat India?

J: Saya berharap setelah kita menjalin Nambikei dengan masyarakat kaum India ini, supaya mereka dah lihat empat tahun usaha yang kita lakukan untuk mereka memberi mandat baharu kepada kerajaan supaya berdasarkan kepada Nambikei, kita akan bukan sahaja dapat teruskan program-program ini tetapi dapat kita,tingkatkan lagi supaya masyarakat kaum India mendapat pembelaan yang lebih baik,lagi pada masa yang akan datang.