Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya memantau untuk pastikan tiada perbuatan menurunkan bendera parti politik tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-13.

Khalid juga telah mengarahkan PBT menurunkan kain rentang yang menghina pihak lawan serta menjatuhkan maruah seseorang.

“Penting untuk kedua-dua pihak memastikan tiada insiden yang boleh menjurus kepada pergaduhan antara penyokong parti politik,” kata Abdul Khalid dalam satu kenyataan.

“Justeru, pemimpin dan penyokong mesti menjaga etika dan sentiasa mengutamakan keharmonian,” tambah beliau yang selaku menteri besar kerajaan negeri sementara.

Khalid berkata perbuatan menurunkan bendera parti politik dibenarkan jika dipasang di tempat yang tidak selamat “sehingga boleh mengganggu dan menghalang pemandu melihat dengan jelas kerana dikhuatiri boleh membawa kecelakaan di jalan raya”.

Begitu juga mana-mana kain rentang dan papan iklan yang dipasang di bahu-bahu jalan yang mengganggu pengguna jalan raya hendaklah dialih ke tempat sesuai, tambahnya.

“Saya mengingatkan dan menyeru rakyat Malaysia tidak kira penyokong Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional supaya matang berpolitik dan menjadikan pilihan raya umum kali ini untuk melaksanakan hak yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya.

Khalid mengulas bahawa beliau mahu PRU ke-13 diingati sebagai pilihan raya penentu masa hadapan bukannya paling kotor sehingga memalukan kita dan generasi akan datang.

Pembubaran dewan undangan Selangor telah berkuatkuasa sehari selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan pembubaran Parlimen pada 3 April.

Khalid telah memutuskan bahawa semua ahli dewan undangan negeri dan exco hanya boleh menggunakan 50 peratus daripada peruntukan masing-masing

“Ini bagi memastikan peruntukan mencukupi selepas pilihan raya selesai diadakan untuk membolehkan kerajaan baharu melaksanakan tugas dengan berkesan agar kebajikan rakyat tidak terabai,” kata Khalid sebelum ini.