Seorang wakil kepada calon DAP bagi kerusi Parlimen Serdang mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengunci dua peti undi selepas proses pengundian awal Selasa lepas.

Susan Lee Pek Sim, 54, didakwa tanpa kuasa yang sepatutnya telah mengunci dua peti undi itu dengan mangga kuncinya sendiri di Dewan Markas Tentera 21, Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (Askar Wataniah) Kajang Utama, Kajang dekat sini, pada 7.15 malam, 30 April lalu.

Perunding hartanah itu didakwa mengikut Seksyen 3(1)(i) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Majistret Abdul Jalil Salam Mohamad membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Jun ini untuk sebutan kes.

Kes dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Hazwani Omar manakala Susan diwakili oleh peguam New Sin Yew.

Calon DAP, Dr. Ong Kian Ming yang juga Pengarah Strategi Pilihan Raya parti itu bertanding melawan calon Barisan Nasional, Datuk Yap Pian Hon.

Sementara itu, Kian Ming dalam satu kenyataan mendakwa tindakan mahkamah ke atas ejennya dua hari sebelum pilihan raya bertujuan untuk menakut-nakutkan ejen dan pemantau pilihan raya.

"Kami menggesa Peguam Negara menggugurkan kes itu dengan segera," katanya.
Ini adalah kes kedua yang difailkan berhubung Seksyen 3(1)(i) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Seorang wakil calon Pas bagi kerusi Parlimen Telok Kemang, Azahari Ismail pada Khamis mengaku tidak bersalah atas tuduhan serupa di Mahkamah Majistret Port Dickson.

Azahari didakwa mengunci sembilan peti undi di Pusat Mengundi Dewan Hangar, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), pada Selasa lepas.