Sebagai sebuah negeri jelapang padi, dan tentunya banyak kawasan yang diliputi dengan tanaman padi, banyak pihak beranggapan Kedah sukar dimajukan dari segi pembangunan lain.

Bagaimanapun Barisan Nasional (BN) yang memerintah negeri ini sejak merdeka hingga 2008, tidak pernah menjadikan isu itu sebagai masalah besar untuk membangunkan negeri.

Malah kecekapan dan kewibawaan pemimpin Umno dan BN menyebabkan rakyat negeri ini tetap menerima limpahan pembangunan negara.

Tanpa menyedari hakikat itu, parti PAS, DAP dan PKR sering memainkan isu bahawa Kedah ini ketinggalan dari segi ekonomi berbanding negeri lain.

Kini selepas lebih lima tahun pakatan itu diketuai PAS menguasai negeri Kedah menerusi pilihan raya umum (PRU) 2008, keadaan ekonomi dan pembangunan di Kedah menjadi lebih teruk sebenarnya.

Itu pandangan Timbalan Pengerusi BN Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang menjelaskan senario di negeri ini dan peranan Kedah menyumbang kepada bekalan beras untuk kegunaan seluruh negara dan atas alasan itu tanah yang luas diperuntuk bagi mewujudkan bendang untuk penanaman padi.

Ada ketikanya sukar untuk status tanah ditukar kepada aktiviti ekonomi lain sedangkan usaha tanaman padi hasilnya tidak selumayan jika diwujudkan taman industri di atas tanah berkenaan.

"Inilah pengorbanan Kedah untuk seluruh negara. Ini yang Kedah korbankan selama ini yang menyebabkan pertumbuhan ekonomi Kedah agak perlahan berbanding negeri-negeri lain apatah lagi untuk bersaing dengan negeri Selangor dan Johor," katanya kepada Bernama dalam temu bual di sini.

Bagaimanapun, Mukhriz berkata BN masih dapat merancang dan melakukan usaha untuk memperbaiki taraf kehidupan rakyat Kedah.

"Berbanding dengan kerajaan Kedah sekarang, sekurang-kurangnya kerajaan Kedah waktu BN dulu banyak juga buat perancangan 'di luar kotak' seperti mewujudkan Kulim Hi-Tech Park. Sekarang ini, selatan Kedah boleh dikatakan lebih maju daripada Alor Setar sendiri. Pelaburan yang ditarik berbilion-bilion," kata Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Katanya sejak dulu lagi, BN terkenal sebagai sebuah kerajaan dan parti yang berjuang untuk pembangunan bagi melonjakkan kedudukan negara ke tahap yang lebih tinggi dan memberi manfaat kepada rakyat.

"Setiap kali pelaburan masuk ke sesuatu negeri, ia bukan semata-mata manfaat umum kepada rakyat tetapi kesan sampingan kepada industri dan masyarakat turut dirasai. Banyak peluang pekerjaan dan perniagaan," katanya.

Mukhriz, yang berpindah daripada kerusi parlimen Jerlun ke kerusi dewan undangan negeri Ayer Hitam pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) ini, berkata selama lima tahun mentadbir Kedah, kerajaan negeri di bawah pimpinan PAS tidak mempunyai daya kreatif untuk memikirkan cara menjana ekonomi negeri selain daripada menjual air dan menebang balak.

"Itu sahaja yang mereka cakap dari hari pertama mereka ambil alih Kedah sampai hari ini. Nak laksanakan satu-satu projek untuk rakyat nampak saja senang tapi rumit. Apa yang dibuat kena jaga kepentingan rakyat," katanya.

Beliau berkata cadangan kerajaan Kedah untuk mengenakan caj kepada pihak yang menggunakan sumber air dari sungai di negeri ini menunjukkan kerajaan negeri kekeringan idea dalam menjana hasil negeri.

Selain mengenakan caj air mentah kepada Pulau Pinang walaupun tidak dipersetujui Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, kerajaan negeri juga berhasrat melakukan perkara sama kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), selain syarikat dan kilang di Kedah, Pulau Pinang serta Perlis yang mengambil air daripada sungai.

Beliau berkata ini jelas menunjukkan kerajaan negeri hanya mampu memperoleh pendapatan menerusi sumber sedia ada dan ia satu kerugian kepada rakyat serta negeri kerana tiada penjanaan pendapatan baharu untuk melaksanakan pembangunan.

Mukhriz berkata kerajaan negeri Kedah bukan hanya gagal mewujudkan projek-projek pembangunan yang baru tetapi turut gagal meneruskan projek-projek kerajaan BN terdahulu.

"Pembangunan yang ada di Kedah ini sebenarnya usaha kerajaan negeri terdahulu yang hanya siap ketika kerajaan sekarang. Bukan cerita projek baru..nak teruskan pun gagal...hadapi macam-macam masalah. Mudah bercakap daripada buat. Bila dah tanggung atas bahu baru sedar," katanya.

Antara projek besar kerajaan BN terdahulu yang berhadapan dengan masalah di bawah kerajaan negeri sekarang adalah Kolej Universiti Insaniah (Kuin) dan Projek Hab Hidrokarbon Sungai Limau (SULIHH).

Kuin gagal ditadbir dengan baik menyebabkan pengurusan kolej universiti milik kerajaan negeri itu dalam keadaan tidak terurus sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati kakitangan Kuin sendiri dan para pelajar.

Projek SULIHH, yang dulunya dikenali sebagai Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) ketika dirancang pada 2007 oleh kerajaan BN, di Yan diakui sendiri oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebagai tergendala kerana pemaju yang dilantik menghadapi masalah teknikal dan kewangan.

Mengikut perancangan awal kerajaan BN, projek itu dijangka siap tahun ini dan mampu menjana pendapatan RM400 juta setahun kepada kerajaan negeri.

BN dalam manifesto atau aku janji PRU13 khusus untuk Kedah jika dapat menguasai semula Kedah menawarkan untuk meneruskan ZIPY selain membangunkan Jerlun sebagai pusat industri minyak dan gas.

Turut dicadangkan ialah untuk membangunkan Bandaraya Getah Kota Putra di Padang Terap yang menawarkan 13,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan sederhana.