Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan parti itu ada beberapa nama yang layak untuk diketengahkan sebagai Menteri Besar Selangor selain penyandangnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Namun beliau tetap mempertahankan Abdul Khalid sebagai calon menteri besar setelah menunjukkan prestasi yang baik sepanjang memegang jawatan itu selama satu penggal sejak Mac 2008.

"Seperti saya katakan tadi ada beberapa pemimpin yang berpotensi. Sesiapa sahaja yang bertanding DUN berpotensi untuk menjadi menteri besar.

"Berdasarkan rekod pencapaian, beliau (Khalid) melakukan kerja dengan baik. Tetapi kita juga mempunyai jawatankuasa yang akan tentukan siapa yang akan jadi menteri besar," katanya pada sidang media harian di ibu pejabat PKR di Tropicana hari ini.

Calon menteri besar Pakatan Rakyat bagi Selangor jadi tanda tanya disebabkan tiada sebarang pengumuman dibuat oleh PKR Selangor sehingga hari ini sama ada Abdul Khalid akan sekali lagi bertanding di kerusi Dun atau hanya memberi tumpuan kepada kerusi parlimen Bandar Tun Razak.

PKR Selangor dijadual mengadakan majlis mengumumkan calon-calon mereka yang akan bertanding di kerusi Dun dan Parlimen pada 14 April nanti di Keramat.

Khalid yang diumumkan akan mempertahankan kerusi parlimen Bandar Tun Razak dikatakan berpotensi tewas di kerusi Ijok. Beliau menang kerusi itu dengan majoriti tidak sampai 2,000 undi pada 2008.

Selain itu, Khalid juga dikatakan bersaing dengan tokoh seperti Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, yang disebut-sebut sebagai antara yang berminat untuk jadi MB Selangor.

Menurut sumber dalaman PKR, Abdul Khalid mungkin tidak akan dikekalkan sebagai menteri besar Selangor berikutan perselisihan pendapat yang dikatakan wujud antara beliau dengan Azmin.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan Parti Sosialis Malaysia boleh bertanding di kerusi yang mereka tandingi sebelum ini dengan syarat ia perlu menggunakan lambang salah satu parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat.

"Kita (Pakatan) telah bersetuju bahawa PSM boleh bertanding di kerusi yang mereka tandingi sebelum ini dengan syarat mesti menggunakan lambang PKR, DAP atau Pas," katanya.

Isu ini timbul berikutan PKR dikatakan akan bertanding di beberapa kawasan seperti kerusi DUN Kota Damansara, DUN Semenyih dan parlimen Sungei Siput yang sebelum ini ditandingi oleh PSM pada 2008.

Menjawab soalan tersebut Saifuddin menjelaskan kerusi tersebut milik PKR sebelum ini tetapi ditandingi calon PSM dengan menggunakan lambang PKR.