Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yakin rakyat Kelantan akan memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk memerintah semula Kelantan selepas 23 tahun ditadbir oleh kerajaan negeri PAS.

Keyakinan beliau itu dibuat berdasarkan sentimen semasa rakyat yang katanya, dilihat lebih menyebelahi BN.

Mustapa berkata, rakyat Kelantan mengakui banyak masalah yang tidak berjaya diselesaikan kerajaan negeri Pas termasuk kegagalan menyelesaikan isu air sehingga menyebabkan timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.

“Mereka (rakyat) mahu BN diberi peluang kerana mereka lebih terima konsep yang dibawakan oleh BN, seperti konsep 1Malaysia, “ kata Mustapa dalam satu temuramah eksklusif bersama penganalisis politik Karim Raslan untuk Astro Awani, baru-baru ini.

“Kalau dulu mereka selesa dengan Pas tetapi kini mereka lebih selesa dengan BN kerana kepada mereka Pas telah diberikan peluang selama 23 tahun untuk mengubah keadaan hidup mereka namun tiada apa yang berlaku,” tambah Mustapa.

Pas memerintah Kelantan sejak pilihan raya umum 1990.

Ditanya mengenai strategi yang BN untuk menang di Kelantan, Mustapa memaklumkan sebahagian besar pemimpin negeri sudah memulakan gerak kerja lebih awal dan bukannya menunggu tarikh pilihan raya.

Jelas beliau, pendekatan turun ke akar umbi sering digunakan sebagai platform untuk menjelaskan kepada rakyat Kelantan bahawa mereka tidak pernah dipinggirkan oleh kerajaan pusat.

“Kita yakinkan rakyat Kelantan, mereka tidak dipinggirkan kerajaan pusat, sebaliknya negara lebih maju di bawah pentadbiran BN. Kelantan juga harus bersama-sama dalam arus pembangunan, tidak terkecuali. Mereka (rakyat) perlu tahu tentang komitmen kerajaan pusat membantu Kelantan selama ini,” katanya.

Mustapa juga menegaskan tentang pentingnya sentuhan peribadi antara pemimpin dengan rakyat.

Mengambil dirinya sebagai contoh, Mustapa menjelaskan beliau seringkali berkunjung ke rumah rakyat untuk bertemu mereka dan pendekatan itu telah jadi kemestian beliau sejak jadi wakil rakyat termasuk bersederhana dan berkawan dengan rakyat di semua peringkat.

“Mereka sentiasa dengan saya, sejak 20 tahun lalu, saya tak boleh ubah, ini cara dan stail saya sejak dulu. Jika pendekatan ini saya tinggalkan, keyakinan dan sokongan mereka mungkin akan berkurangan. Sebab itu saya tekankan ini satu daripada kemestian saya,” jelas Mustapa.