Pilihan raya umum kali ini dijangka bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh, Pulau Pinang apabila Pas mengumumkan akan bertanding di kerusi itu.

Pengumuman tersebut dibuat sehari selepas Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan calonnya bagi kerusi yang sama.

Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Datuk Mohamad Salleh Man mengumumkan Ketua Dewan Pemuda Pas negeri, Mohamad Yusni Md. Piah sebagai calon untuk DUN Sungai Acheh, malam tadi.

"Keputusan Pas Pusat muktamad, Pas bertanding di Sungai Acheh," katanya kepada media selepas majlis pengisytiharan calon parti itu di Markas Pas Pongsu Seribu, di sini.

Biarpun diasak oleh wartawan untuk penjelasan, Mohamad Salleh berulang kali menegaskan "Pas bertanding di Sungai Acheh."

Katanya, keputusan itu sudah dicapai oleh Pas selepas berunding dengan PKR dan DAP.

Beliau juga meluahkan rasa "pelik" bagaimana PKR boleh mengumumkan calonnya untuk kerusi itu.

Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman pada Selasa mengumumkan parti itu akan mempertahankan kerusi DUN Sungai Acheh yang dimenanginya pada pilihan raya umum 2008.

Calon PKR dalam PRU-13 nanti ialah Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard. Beliau merupakan Ketua Cabang PKR Rembau, Negeri Sembilan dan juga pengerusi NGO, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Kerusi DUN Sungai Aceh yang mempunyai majoriti pengundi Melayu terletak dalam kawasan parlimen Nibong Tebal.

Semasa mengumumkan pencalonan Badrul Hisham, Mansor berkata Pas dan PKR Pulau Pinang telah menyelesaikan rundingan untuk kerusi tersebut dan Pas telah merestui calon PKR bertanding di situ.
Kerusi DUN Sungai Acheh secara tradisinya adalah milik Pas namun diserahkan kepada PKR pada pilihan raya umum yang lalu.

Dalam pilihan raya itu, calon PKR Dr. Azhar Ahmad kalah kepada calon Barisan Nasional, Datuk Mahmud Zakarian dengan majoriti kecil 250 undi.

Pada majlis malam tadi, Pas turut mengumumkan tokoh korporat, Datuk Abdul Rahman Maidin sebagai calon bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor.


abdul rahman maidin


Abdul Rahman merupakan bekas Pengerusi konglomerat media Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) yang pernah menguasai saham terbesar dalam Syarikat Televisyen Malaysia Berhad (TV3).

Beliau yang juga bekas Presiden Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang (DPMPP) menyertai PAS pada awal Disember tahun lalu.

Pas juga mengumumkan dua muka baru iaitu Afnan Hamimi Taib Azamuddin sebagai calon bagi kerusi Parlimen Kepala Batas dan Rosidi Hussin sebagai calon DUN Penaga.

Bagi kerusi DUN Permatang Berangan, Pas menyandarkan harapan kepada Arshad Salleh manakala Asnah Hashim di DUN Bayan Lepas dan Salleh sendiri jadi calon DUN Permatang Pasir.

Pada PRU-13 ini, PAS bertanding enam kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen.