"Masuk kali ini sudah tiga kali saya dikaitkan untuk menjadi Menteri Besar (Johor)," demikian reaksi penyandang kerusi Perlimen Pasir Gudang Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika diminta mengulas spekulasi beliau bakal dilantik Menteri Besar Johor selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Mohamed Khaled, yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata sejak dua penggal lepas, setiap kali menjelang pilihan raya umum, namanya menjadi bahan spekulasi.

"Apa yang saya tahu, setiap kali menjelang pilihan raya, nama saya akan menjadi bahan spekulasi... dah lali," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Karnival Jom Masuk U peringkat negeri Johor, di Persada Johor di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata beliau sendiri masih menunggu pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai senarai calon Barisan Nasional untuk PRU13.

Sejak dua penggal lepas, Mohamed Khaled disebut-sebut antara calon menteri besar menggantikan Datuk Abdul Ghani Othman yang dikatakan akan bertanding di Gelang Patah menentang Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Antara kawasan dewan undangan negeri yang dikatakan akan ditandingi Mohamed Khaled ialah DUN Tiram atau Tanjung Puteri, malah ada yang menyebut DUN Permas walaupun DUN itu diperuntuk kepada MIC sebelum ini.