Selepas proses penamaan calon bagi kerusi Parlimen P.115 Batu selesai kira-kira pukul 11:30 pagi semalam, penyandangnya yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chua Tian Chang atau Tian Chua bakal berdepan empat calon lain untuk mempertahankan kerusi parlimen tersebut.

Tian Chua dan kerusi parlimen Batu menjadi perhatian tentunya kerana kontroversi pada tahun 2010 kerana Mahkamah Tinggi yang memutuskan mengurangkan hukuman denda ke atas Naib Presiden PKR itu daripada RM3,000 kepada RM2,000. Kedudukan Tian Chua sebagai Ahli Parlimen dipertikaikan.
Isu ini melibatkan tafsiran Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.

Artikel 48 Perlembagaan Persekutuan adalah berkaitan dengan kehilangan kelayakan Ahli Parlimen. Salah satu sebab yang membolehkan seorang Ahli Parlimen seperti Tian Chua boleh hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen adalah jika Ahli Parlimen itu disabitkan atas sesuatu kesalahan dan dihukum dengan hukuman penjara untuk tempoh tidak kurang dari satu tahun atau hukuman denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan Ahli Parlimen itu tidak mendapat pengampunan bebas.

Namun keputusan PKR mencalonkan semula Tian Chua di kerusi tersebut juga menjadi perhatian kerana kenyataan kontroversi beliau ketika insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini. Kenyataan beliau yang mendakwa pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu sebagai sandiwara mengguris hati rakyat Malaysia yang ketika itu tahap patriotismenya begitu tinggi.

Tian Chua dianggap anti pasukan keselamatan ketika semangat patriotisme Lahad Datu dipacu oleh rasa ingin bersatu bersama pasukan keselamatan dalam memenangi krisis di negeri bawah bayu itu.

Kenyataan Tian Chua digambarkan bahawa pembangkang memperkecilkan pasukan keselamatan negara yang dijulang sebagai wira dalam menangani krisis itu. Ia mengguris hati rakyat Malaysia dan mengganggu emosi yang bersifat anti pendatang asing. Rasa tidak senang terhadap Tian Chua dan pembangkang sama seperti kebencian terhadap pendatang asing.

Kerana patriotisme Lahad Datu masih menebal, maka tumpuan terarah juga kepada penamaan calon P.115 Batu. Penyokong Barisan Nasional yang hadir mengiringi calon mereka daripada Gerakan, Dr. Dominic Lau menyanyikan lagu 'Barisan kita' tanda kebersamaan dengan pasukan keselamatan dan anti Tian Chua.

Bagi Dr. Dominic sendiri, beliau melihat kepentingan untuk pengundi P.115 memilih calon BN kerana program transformasi yang diusahakan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak perlu disokong. Bagi beliau, program transformasi itu akan berjaya dengan sebuah kerajaan pusat yang kuat dan kerana itu, tidak ada jalan lain yang boleh dilakukan melainkan memberi kemenangan kepada calon BN.

"Jika kerajaan BN bertambah kuat dengan kemenangan dua pertiga tentunya program transformasi akan lebih mudah dilaksanakan.

"Untuk mencapai tujuan itu, tidak ada cara lain selain memberikan kemenangan besar kepada BN dan pengundi perlu menyerahkan kembali kerusi ini (Batu) kepada BN," katanya.

Kehadiran dua calon bebas dan seorang calon parti Berjasa juga ada kaitan dengan sentimen anti Tian Chua dan pembangkang.

Calon bebas yang akan bertanding menggunakan lambang kunci, Atan Jasin menawarkan diri untuk bertanding kerana merasakan kepentingan orang Melayu di parlimen Batu tidak boleh disandarkan kepada calon bukan Melayu.

"Kepentingan orang Melayu perlu dipertahankan dan caranya ialah dengan memberikan kemenangan kepada calon Melayu," katanya.

Begitu juga dengan calon parti Berjasa, Brigadier Jeneral Datuk Hashim Karim yang menawarkan diri sebagai calon kerana merasakan kedudukan Islam di negara ini semakin tergugat dewasa ini. Tian Chua dilihat sebagai salah seorang sosok yang berada dalam kelompok yang menyokong fahaman liberal yang dianggap ancaman kepada Islam.

"Kedaulatan Islam perlu dipertahankan dan kerana atas rasa bertanggungjawab terhadap perkara tersebut, saya menawarkan diri sebagai calon," katanya yang hadir ditemani seorang pencadang dan penyokong.

Seorang lagi calon Bebas, Nazariah Abbas mencuba nasib di parlimen Batu kerana merasakan seorang ahli parlimen perlu mempunyai rasa hormat yang tinggi terhadap pasukan keselamatan dan bukannya memandang rendah terhadap wira negara yang mempertaruhkan nyawa untuk mempertahankan nusa dan bangsa. Ini semua kerana sentimen anti Tian Chua.

Selain faktor itu, Nazariah juga menawarkan diri sebagai calon kerana merasakan hak kaum wanita tidak diperjuangkan sebaiknya oleh wakil parti pemerintah dan pembangkang penggal parlimen yang lepas.

"Isu melibatkan kaum wanita tidak diperjuangkan dengan baik oleh wakil rakyat ketika penggal lepas sedangkan jumlah pengundi wanita begitu tinggi.

"Saya menawarkan diri sebagai calon kerana mahu berjuang untuk kepentingan wanita selain merasakan wakil rakyat perlu menghormati anggota pasukan keselamatan," ujarnya.

Bagi Tian Chua, biarpun sering terpalit dengan kontroversi dan dianggap sebagai anti pasukan keselamatan, beliau merasakan pengundi perlu diberi peluang untuk memilih sama ada mahu melangkah ke hadapan atau kekal pada tahap sekarang.

"Saya kekal bertanding di sini (parlimen Batu) kerana merasakan kami (Pakatan Rakyat) menawarkan perubahan demi Malaysia yang sejahtera," katanya yang tiba paling awal berbanding calon lain di pusat penamaan calon P.115.

Apa saja yang ditawarkan oleh lima calon yang bertanding di P.115 Batu, akan ditentukan oleh pengundi di kawasan tersebut 5 Mei nanti. Apakah status quo kekal atau patriotisme Lahad Datu akan merampas kerusi parlimen Batu daripada Tian Chua?