Sebut sahaja tugas seorang doktor, sudah pasti yang terbayang adalah ubat, stetoskop dan pesakit. Namun, bukan peranan itu yang mahu diceritakan tetapi dengan perkakas itu, mampukah golongan profesional seperti mereka memikul tanggungjawab sebagai ahli politik atau wakil rakyat?

Persoalan itu sesuai dibangkitkan kepada dua calon pilihan raya yang dipilih oleh parti masing-masing bertanding bagi kerusi Parlimen Kuala Kedah, iaitu Dr. Zaki Zamani Abd. Rashid yang mewakili Barisan Nasional dan Dr. Azman Ismail daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kedua-duanya adalah calon muka baru, namun dari segi pengalaman, Dr. Azman, 52 tahun, ternyata lebih 'bersantan' dalam politik.

Namun begitu, bagi Dr. Zaki pula, beliau masih ada kelebihannya yang tersendiri kerana usia yang muda iaitu 36 tahun dan sangat bercita-cita tinggi untuk bergiat aktif dalam politik.

Untuk meneruskan agenda perjuangan parti BN, Dr Zaki sanggup meletakkan jawatan sebagai doktor perubatan di Klinik Pakar Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan menerima tawaran jadi calon Parlimen Kuala Kedah.

Beliau melihat pengalaman sebagai pengamal perubatan terutama kelebihan berkomunikasi dengan pesakit menjadi nilai tambah untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat.

"Tentunya sebagai calon baru dalam politik saya perlu bekerja kuat untuk turun padang mendekati rakyat dan pengundi, tetapi setakat ini penerimaan mereka itu amat baik kerana kebanyakannya sudah mengenali saya.

"Ini kerana aktiviti sukarela saya atau kadang-kadang mereka itu adalah pesakit saya sendiri," katanya.

Malah, beliau menyerikan kempen dari rumah ke rumah dengan menawarkan khidmat pemeriksaan kesihatan.

"Saya menawarkan politik khidmat kepada masyarakat. Saya punya pendekatan ialah menjalinkan hubungan baik dengan penduduk di sini," ujarnya.

Kombinasi antara ilmu perubatan yang dekat dengan rakyat serta politik mungkin menjadi.

Lihat sahaja, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga merupakan doktor perubatan sebelum bergiat aktif dalam politik dan berjaya sampai ke peringkat tertinggi jadi Perdana Menteri. Sehingga ke hari ini, bekas Perdana Menteri itu masih tidak jemu untuk memberikan buah fikiran dan idea-idea.

Bagi Dr. Azman pula, beliau bersedia untuk berlawan dengan siapa sahaja, asalkan PKR menang.

"Itu biasa saya rasa dan kerana saya bertanding, lawan saya itu dianggap setara dengan saya. Untuk alasan itu, kita bersedia dengan siapa sahaja sebenarnya untuk mempertahankan kerusi parlimen ini," ujarnya.

Isu kebajikan penduduk di Kuala Kedah adalah antara yang menjadi perhatian calon PKR ini.

"Di Kuala Kedah banyak masalah orang bawahan, orang miskin, iaitu petani, nelayan... itu masalah besar. Secara umumnya, masalah di Kuala Kedah ialah masalah penagihan dadah, penularan AIDS yang tidak pernah diberi perhatian dengan serius dan masalah perumahan penduduk yang bersesak dan tidak teratur," katanya.

Kerana beliau seorang doktor, banyak masalah mengenai kesihatan penduduk dititikberatkan.
Ia termasuk rasa prihatin terhadap pencemaran pantai di Kuala Kedah yang memberi kesan buruk kepada nelayan dan penduduk setempat.

Malah, mempunyai klinik sendiri di sekitar Kuala Kedah merupakan antara pemikat pengundi yang disifatkannya berkesan untuk lebih cepat dikenali rakyat.

Parlimen Kuala Kedah merangkumi lebih 95 ribu pengundi, iaitu 77 peratus terdiri daripada masyarakat Melayu, 21 peratus pengundi Cina, dan satu peratus adalah pengundi India.

Dan, pada 5 Mei depan, angka itu bakal menentukan siapa akan dipilih untuk mewakili kawasan itu bagi membela nasib mereka.

Kalau dilihat kepada rekod PKR sebelum ini, parti itu menang pada pilihan raya umum pada 2008 dengan majoriti 7,018 undi apabila calonnya, Ahmad Kassim menewaskan calon BN, Datuk Hashim Jahaya.

Namun, itu rekod hampir lima tahun lalu. Dalam PRU ke-13 ini, siapa pun pilihan rakyat, seorang 'doktor wakil rakyat' bakal duduk di kerusi panas itu.

Tunggu dan lihat.