Barisan Nasional Pulau Pinang hari ini mengemukakan 31 muka baharu yang akan bertanding pada pilihanraya umum ke13 ini termasuk bekas naib ketua pemuda Pas Pulau Pinang ,Dr Mazlan Ismail yang diumum sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi parlimen Permatang Pauh.

Dr Mazlan yang juga bekas naib presiden Telekom Malaysia bertanding di Permatang Pauh dan akan berdepan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengumuman itu menyaksikan 70 peratus muka baru bagi kawasan parlimen menjadi taruhan BN Pulau Pinang manakala 60 peratus muka baru bagi kawasan dewan undangan negeri.

Pengerusi barisan nasional negeri, Teng Chang Yeow berkata, calon-calon yang dipilih adalah Barisan terbaik dan mereka dipilih berdasarkan kreadibiliti dan diyakini mampu memberi kemenangan kepada parti.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua ahli dan jentera parti supaya bekerjasama dan akan mengambil tindakan tegas termasuk memecat ahli yang didapati melakukan sabotaj kepada calon dan parti.

“Kami tidak boleh menghalang sesiapa daripada melakukan sabotaj tetapi sesiapa yang berbuat demikian akan menghadapi tindakan tegas serta di pecat daripada parti. Oleh itu, kami berharap mereka meletakkan kepentingan parti sebelum diri sendiri,” kata Teng.

Pengerusi perhubungan Umno negeri, Datuk Zainal Abidin Osman juga berkata, mana-mana ahli umno yang bertindak cuba untuk mensabotaj parti juga tidak akan terlepas daripada tindakan.

“Umno ada pemantau di tiap-tiap DUN dan parkimen yang dilantik, oleh itu kita ada 53 org pemantau di bawah Umno yang dilantik oleh ibu pejabat Umno daripada sebarang usaha sabotaj secara lansgung dan tidak langsung. Kita akan ambil tindakan, jadi pemantau bukan main-main dan diberi kepada tiap-tiap DUN untuk memantau supaya tidak ada sabotaj.

Sementara itu, bagi calon kerusi panas, parlimen Permatang Pauh, Dr Mazlan Ismail berkata, beliau telah bersedia untuk bertanding dengan sesiapa sahaja di kawasan itu.

“Saya mempunyai motivasi yang sangat tinggi dan berharap Insyallah akan mencapai kemenangan dan saya berpegang pada prinsip.

"Kita berusaha seperti mungkin dan jangan lupa berdoa kepada Allah. Di mana saya pergi , saya berpegang kepada hadis Nabi Muhammad (SAW) diriwayatkan Saiddina Omar ‘beriman dan bertawakal kepada Allah nescaya akan diberi rezeki seperti yang diberi kepada burung yang keluar dengan perut kosong dan pulang dengan perut berisi’.

“Itulah yang saya yakin dan pengundi akan buat kerja terbai serta erdoa dan Allah akan beri kemenangan kepada BN di Permatang Pauh pada kali ini,” kata Dr Mazlan.

Ketua penerangan pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pula dicalonkan bagi kerusi Parlimen Kepala Batas yang sebelum ini disandang bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pengerusi BN negeri, Teng akan bertanding di kawasan dewan undangan negeri Bukit Tengah dan pengerusi Umno negeri Datuk Zainal Abidin bertanding di parlimen Nibong Tebal.

Barisan Nasional Pulau Pinang bertanding di 13 kawasan parlimen dan 40 kawasan dewan undangan negeri pada pilihanraya umum ke 13 kali ini.