Presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali kecewa kerana tidak diberikan laluan oleh Barisan Nasional (BN) untuk bertanding atas tiket parti itu bagi mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Mas yang dimenanginya pada 2008.

Katanya, beliau akan tetap mempertahankan kerusi itu sebagai calon bebas.

Jelas Ibrahim, beliau kecewa kerana tidak diberikan alasan kenapa beliau tidak boleh jadi calon BN sedangkan naib presidennya, Zulkifli Noordin dicalonkan oleh BN bagi kerusi Parlimen Shah Alam.

"Saya tidak disenaraikan maknanya saya tidak diberi peluang, sebab-sebabnya saya tak tahu. Mungkin rupa paras saya tak cantik atau sebagainya. Tapi saya ingin nyatakan di sini walaupun saya bertanding di Pasir Mas bukan bererti saya menentang BN. Saya kira hal Pasir Mas ini isolated case (kes terpencil)," katanya.

Ibrahim berkata demikian kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa dan disambut oleh kira-kira 300 penyokongnya termasuk ahli Perkasa.

BN mencalonkan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Che Johan Che Pa bertanding di kerusi itu.

Tegas Ibrahim, beliau bukan berdendam dengan BN atau UMNO apabila memutuskan mahu bertanding di Pasir Mas sebaliknya menasihati semua ahli Perkasa supaya menyokong calon yang dikemukakan oleh BN.

Katanya, keputusan beliau itu adalah atas permintaan penduduk Pasir Mas dan kerana masih ada banyak agenda yang mahu beliau perjuangkan khususnya yang menyentuh hal ehwal orang Melayu dan agama Islam.

Dalam pada itu, Ibrahim berterima kasih kepada Datuk Seri Najib kerana memilih Zulkifli bertanding menggunakan tiket BN.

Ibrahim baru-baru ini mengumumkan "bercuti" daripada tugas-tugas dalam Perkasa untuk memberikan tumpuan kepada PRU-13 dan tugas beliau dipangku oleh timbalannya, Datuk Abdul Rahman Bakar.

Pada pilihan raya umum lalu, Ibrahim yang bertanding atas tiket Pas menang kerusi Parlimen Pasir Mas mengalahkan calon BN, Ahmad Rosdi Mahamad dengan majoriti 8,991 undi. Beliau kemudian berkrisis dengan Pas dan mengumumkan dirinya sebagai wakil rakyat bebas.

Ibrahim pertama kali jadi Ahli Parlimen selepas menang pilihan raya umum 1986 sebagai calon BN. Beliau kemudian menyertai Semangat 46 selepas UMNO diharamkan oleh mahkamah pada 1988. Parti yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah itu membentuk gabungan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dalam pilihan raya umum 1990 dan mengalahkan BN di Kelantan.

Pada pilihan raya umum 1999, Ibrahim kalah di kerusi yang sama atas tiket Semangat 46 sebelum bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya 2004 dan kalah dalam pertandingan tiga penjuru bersama UMNO dan Pas.