"Saya dan Shahanim tiada masalah," ujar calon BN Parlimen Sungai Petani, Syamsul Anuar Ismail mengenai hubungannya dengan calon yang digugurkan daripada mewakili BN Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Sebelum ini, Shahanim Mohd Yusof disebut-sebut antara calon pilihan yang bakal mewakili kawasan itu.

Jelasnya, hubungan dengan Ketua Puteri Umno Bahagaian Sungai Petani itu masih baik dan beliau sendiri berjumpa dengan Shahanim selepas namanya diumumkan sebagai calon Parlimen Sungai Petani.

"Saya sendiri ambil pendekatan berjumpa dengan Shahanim, Ketua Puteri UMNO Bahagian dan beliau berlapang dada, "katanya semasa ditemui Astro AWANI ketika melakukan kempen di Sungai Petani.

"Saya puji Shahanim yang menerima saya sebagai adik dia untuk sama-sama bantu jadi wakil calon,"katanya

Katanya, Shahanim juga sanggup membantu BN Kedah dalam usaha merampas semula Kedah dari tangan Pakatan Rakyat walaupun tidak dicalonkan pada PRU ke 13.

"Ini yang kita nak kerana kepentingan parti lebih penting daripada kepentingan individu,"ujarnya.

Beliau bagaimanapun mengakui pada mulanya terkejut dengan pemilihannya sebagai calon kerana merasakan dirinya bukan calon pilihan.

"Saya rasa manusia ada perasaan. Saya sendiri pun telah berjumpa dengan calon yang tidak tercalon. Mereka terkejut, saya lagi terkejut kerana saya bukan calon favorite," ujarnya.

Tambahnya, walaupun sedar mungkin ada pihak yang tidak berpuashati dengan pencalonannya,namun, beliau akan memikul tanggungjawab yang diamanahkan untuk memastikan kemenangan BN di Kedah.

Shahanim sebelum ini adalah antara yang kecewa selepas tidak tercalon sebagai calon PRU ke-13.

Malah, sehari sebelum hari penamaan calon, Naib Ketua Puteri UMNO itu membayangkan akan bertanding di kerusi bebas.

Bagaimanapun, spekulasi itu tamat apabila beliau mengeluarkan kenyataan akan terus menyokong BN terutama jentera di Kedah, negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat.