Bekas Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim yang bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Kuala Kangsar akan memperincikan asas perjuangannya dan mengumumkan manifesto pilihan raya hari ini.

Kamilia yang bertanding menggunakan simbol buku dijadual membuat pengumuman itu dalam satu majlis di sini, pagi ini.

Beliau sebelum ini memaklumkan bahawa tujuannya bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 adalah untuk memperjuangkan isu-isu wanita dan Islam.

"Perjuangan saya ialah untuk memperjuangkan hak-hak wanita dan keduanya, perjuangan saya ialah untuk mengukuhkan kedudukan Islam di negara ini," katanya dalam kenyataan video yang dimuat naik melalui YouTube pada Khamis.


Dalam satu mesej lain di Facebook, beliau menulis: "Kita sememangnya memerlukan lebih ramai Wanita di Parlimen."

Kamilia menentang calon Barisan Nasional, Datuk Wan Muhammad Khairil Anuar Wan Ahmad serta calon Pas, Khalil Idham Lim Abdullah.

Tindakan Kamilia bertanding sebagai calon bebas itu menyebabkan beliau dipecat serta-merta daripada UMNO, dan surat pemecatannya dikeluarkan pada 22 April lalu.

Beliau bagaimanapun dalam satu kenyataan melalui Facebook pada hari penamaan calon dua hari sebelum itu mengumumkan perletakan jawatannya dalam UMNO serta keluar parti.

Tindakannya itu mengejutkan Wanita UMNO khususnya bahagian Kuala Kangsar yang beliau pimpin serta dicemuh oleh pemimpin dan penyokong UMNO yang lain.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang singgah di Kuala Kangsar dalam siri jelajah kempen PRU-13 semalam menegaskan pemimpin yang meninggalkan UMNO tidak akan dapat sokongan rakyat.

Katanya, parti lebih penting daripada individu dan hakikat itu telah terbukti dalam sejarah.

"Sesiapa yang meninggalkan parti akhirnya akan ditolak oleh rakyat," tegas Najib, merujuk kepada tindakan pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar yang keluar daripada parti pada akhir 1950-an.

Najib singgah di Kuala Kangsar tiga hari selepas Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengadakan pertemuan dengan jentera sayap itu di bandar diraja ini.

Pertemuan Shahrizat itu menghantar mesej supaya Wanita UMNO Kuala Kangsar memastikan kerusi Parlimen berkenaan kekal dengan BN dan mereka mesti berkerja keras dua kali ganda untuk memastikan calon BN menang.

"Saya sendiri akan pantau (kempen) tiga kali sehari setiap hari dan serah laporan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Najib (Tun Razak)," katanya.

Shahrizat juga menyifatkan tindakan Kamilia itu ada hikmahnya kerana ia akan menguji kesetiaan ahli-ahli sayap itu kepada perjuangan parti.

Kawasan Parlimen Kuala Kangsar sebelum ini diwakili selama enam penggal oleh bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz sejak pilihan raya umum 1986.

Dalam pilihan raya umum 2008, Rafidah mengalahkan calon Pas, Dr. Khairuddin Abdul Malik dengan majoriti 1,458 undi.

Kuala Kangsar mempunyai 33,607 pengundi dengan majoriti Melayu 68 peratus diikuti pengundi Cina dan India masing-masing 28 dan 7 peratus.