Pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dan PAS di kerusi Parlimen P096 Kuala Selangor bukan sekadar persaingan dua tokoh daripada generasi yang berbeza.

Di atas ‘permukaan’ lantai pertandingan, kerusi itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu. Penyandangnya daripada PAS, Dr. Dzulkefly Ahmad bakal dicabar seorang pemimpin belia, Datuk Irmohizam Ibrahim daripada Barisan Nasional (BN).

Namun gelora pertembungan di P096 Kuala Selangor lebih daripada itu. Ia menjadi medan ‘referendum’ untuk menguji sejauh mana kemampuan PAS meyakinkan masyarakat luar bandar terutama kaum Melayu berhubung tahap kekuatannya untuk menggantikan peranan UMNO yang sinonim dengan ‘jenama’ pelindung serta penaung kepentingan kaum majoriti itu.

PAS masih bergelut menguruskan persepsi yang dihadapi parti itu yang dikatakan terlebih kompromi sehingga mengorbankan prinsip parti demi menjaga hubungan politik dengan PKR dan DAP.

Isu hudud contohnya, penyandang kerusi P096, Dr. Dzulkefly menegaskan pendirian PAS tetap konsisten mengekalkan perlaksanaan undang-undang Islam itu walaupun tidak dimasukkan di dalam manifesto bersama Pakatan Rakyat.

“Kepimpinan PAS sehingga ke garisan penamat tetap konsisten. Walaupun ia tidak terkandung di dalam dasar bersama PR, ia tetap perintah Allah dan suatu hari nanti apabila berlaku pencerahan minda manusia bukan sahaja orang Islam malah orang bukan Islam, ia tetap dapat dilaksanakan. Bukan secara paksaan tetapi melalui ‘ballot box’ atau proses demokrasi,” kata beliau ketika ditemui semasa ceramah kelompok santai anak muda di Jaya Setia.

Selain menerangkan intepretasi perjuangan agenda Islam oleh PAS dalam konteks pertembungan ideologi dengan DAP, calon ‘heavyweight’ PAS itu dalam ceramahnya turut meghuraikan intipati manifesto PR kepada masyarakat di perkampungan tradisi.

“Andainya tuan-tuan dan puan-puan faham manifesto PR sekadar penurunan harga kereta, pendidikan percuma, penghapusan tol, saya kira anda silap dari segi memahami manifesto PR. Manifesto PR ialah mengenai pembinaan sebuah Malaysia baru,” hujah Dr Dzul.

BN terus fokus kehendak mikro

Sementara itu, pencabar daripada Barisan Nasional, Datuk Irmohizam Ibrahim memanfaatkan kekuatan faktor anak jati tempatan dalam menawarkan perubahan kepada kerusi parlimen Kuala Selangor.

Kekuatannya sebagai anak muda dan agresif menterjemah amalan politik berhemah selain berhujah sarat dengan idea-idea bernas untuk menganjak sosio-ekonomi penduduk.

Memahami keperluan anjakan di dalam bidang perindustrian, tokoh Majlis Belia ini menggariskan strategi mewujudkan peluang pekerjaan dengan menjadikan Kuala Selangor sebagai hab perindustrian yang baru.

“Hab perindustrian ini kita berupaya menjenamakan semula P096 bukan sekadar agrikultur semata-mata. Ia berupaya menjadi enjin pemangkin kemajuan yang limpahan ekonomi yang juga dapat dirasai masyarakat di luar kawasan Kuala Selangor,” kata Irmohizam ketika bertemu kumpulan peniaga wanita skim mikro kredit Amanah Ikhtiar Malaysia.

Irmohizam menekankan keperluan memanfaatkan sepenuhnya kelebihan yang ada di Kuala Selangor di dalam sektor pelancongan.

“Pelancongan berkelas dunia secara semula jadi sudah ada di Kuala Selangor. Pembangunan eko-pelancongan yang mapan, mengekalkan keindahan sedia ada tetapi ditambah nilai elemen berkelas dunia termasuk strategi promosi yang khusus,” kata beliau.

Selain itu, beliau memanfaatkan sepenuhnya kegagalan pentadbiran sepenggal kerajaan negeri Selangor di bawah PR antaranya seperti pembinaan rumah mampu milik di dalam aku janji khusus yang disambut baik penduduk setempat.

Selaku muka baru di dalam pentas politik pilihan raya, Irmohizam mengakui cabaran utama yang dihadapinya dalam menyusun atur strategi politik di kawasan luar dan pinggir bandar ialah mengimbangi antara politik baru kepada strategi politik konvensional.

“Sebelum ini saya sering menekankan politik hujah berasaskan merit, politik gaya debat presiden Amerika dan sebagainya, sekarang bila saya jadi calon, pengundi mahu sentuhan peribadi. Berjumpa dan bercakap dengan kita,” kata Irmohizam.

Ketika pengundi Melayu dan masyarakat India dilihat semakin condong kepada BN, masyarakat Cina terus kritikal dan sukar disukat kecenderungan mereka dalam menterjemah sokongan di atas kertas undi nanti.

Ini memaksa BN melaksana strategi mencanangkan kekuatan imej ‘komander’ mereka iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak. Pandangan positif setiap lapisan masyarakat terhadap keupayaan Najib yang dilihat menguruskan ekonomi negara diharap meraih undi masyarakat Tionghua.

“Najib peringkat negara seorang yang ‘ok’. Dia serius dan sedar makna perubahan yang dikehendaki tapi orang-orang bawah pun kena ikut sama seperti dia,” kata seorang penyokong tegas PAS yang hanya mahu dikenali sebagai Jailani.

Strategi ini dapat dilihat bukan sahaja di Kuala Selangor ini, malah hampir kesemua kerusi Parlimen dan DUN seluruh negeri Selangor.

Daripada 62,298 pengundi berdaftar di Kuala Selangor, 64.39 peratus daripadanya merupakan pengundi Melayu. Ini diikuti pengundi India dengan 22 peratus dan pengundi Cina, 13.28 peratus.

P096 mempunyai tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bukit Melawati, Ijok dan Jeram. Pada 2008, Dr. Dzulkefly hanya menang dengan majoriti 862 undi mengalahkan calon BN Jahaya Ibrahim.