Tarik tali antara Pas dan Parti Keadilan Rakyat berhubung calon Pakatan Rakyat di kerusi Parlimen Setiawangsa terjawab malam tadi apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerusi itu akan ditandingi oleh calon PKR.

Beliau mengumumkan calon PKR bagi kerusi itu ialah Ibrahim Yaacob yang sebelum ini kalah dalam pilihan raya umum yang lalu.

"(Tetapi) saya percaya, keadaan sudah berubah," katanya semasa mengumumkan nama-nama calon PKR bagi lima kerusi Parlimen yang akan ditandingi oleh parti itu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, malam tadi.

Beliau membuat pengumuman itu dalam majlis ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Bandar Tun Razak.
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mempunyai 11 kerusi Parlimen dengan baki 5 kerusi bakal ditandingi oleh DAP dan satu kerusi oleh Pas.

Dalam pilihan raya 2008, Ibrahim kalah kepada Datuk Zulhasnan Rafique dengan majoriti 8,134 undi. Ibrahim adalah anak kepada Tan Sri Yaacob Latiff iaitu bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur antara Mei 1972 hingga Januari 1981.

Kedudukan calon bagi kerusi Parlimen Setiawangsa sebelum ini jadi kontroversi selepas Pas Wilayah Persekutuan menuntut kerusi itu diserahkan semula untuk ditandingi oleh Pas sama seperti semasa pilihan raya umum 2004.

Sementara itu, PKR mengekal hampir semua calonnya yang bertanding di Wilayah Persekutuan dalam pilihan raya umum yang lalu tetapi memperkenalkan calon baru bagi kerusi Wangsa Maju.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dicalonkan semula mempertahankan kerusi Parlimen Lembah Pantai yang dimenanginya pada 2008. Beliau dijangka akan dicabar oleh calon Barisan Nasional, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Seorang lagi Naib Presiden PKR, Tian Chua dikekalkan sebagai calon di Batu.

"Untuk (kerusi) Batu, kita mesti ambil orang yang keras, the stoneman," kata Anwar berjenaka.

Anwar juga mengumumkan Datuk Dr. Tan Kee Kwong iaitu anak kepada tokoh pembangkang yang dihormati, Tan Sri Tan Chee Koon bertanding di Wangsa Maju.

Kee Kwong adalah bekas pemimpin kanan Gerakan dan pernah jadi timbalan menteri sebelum menyertai PKR pada 2008. Beliau juga merupakan bekas Ahli Parlimen Segambut selama tiga penggal.

Kerusi Wangsa Maju dijangka antara kerusi panas yang akan jadi tumpuan kerana majoriti tipis yang dimenangi oleh penyandangnya, Wee Choo Keong pada 2008 iaitu 150 undi. Choo Keong kemudian meninggalkan PKR dan jadi wakil rakyat Bebas pada 2010.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim turut dicalonkan semula bagi kerusi Bandar Tun Razak Dalam pilihan raya umum 2008, PKR bertanding 5 kerusi parlimen di Wilayah Persekutuan dan menang semua kerusi kecuali satu iaitu Parlimen Setiawangsa.

Khalid adalah juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Ijok tetapi desas-desus mengatakan beliau sedang dipertimbangkan untuk beralih angin berpindah ke kerusi DUN Pelabuhan Klang.