Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan tindakan ahli UMNO yang khianat kepada parti dan bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya umum ke-13 ini tidak akan menjejaskan sokongan rakyat kepada BN.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, sejarah telah membuktikan bagaimana tokoh seperti pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar sendiri pun tidak dapat sokongan rakyat apabila meninggalkan parti.

"Ini telah terbukti dalam sejarah kita. Siapa yang meninggalkan parti akhirnya rakyat akan meninggalkannya.

"Sejarah telah membuktikan pengasas UMNO Allahyarham Dato Onn tinggalkan UMNO, tubuh parti Negara tapi akhirnya apa, akhirnya rakyat menolak, menolak pemimpin yang mengasaskan UMNO kerana apa, kerana mereka tahu, individu tidak ada, tapi parti ada dan berkuasa, perjuangan masih boleh diteruskan," kata Najib.

Onn meninggalkan UMNO pada pada Ogos 1951 untuk membentuk Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) dan kemudian Parti Negara namun kedua-dua parti tajaannya itu tidak mendapat sokongan rakyat.

Najib berucap dalam Majlis Perhimpunan Rakyat 1Malaysia di Arena Square di sini, hari ini dalam siri jelajah kempen PRU-13 ke beberapa daerah di Perak.




Ucapan beliau itu dilihat merujuk antara lain kepada bekas Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim yang bertanding sebagai calon bebas menentang calon BN daripada UMNO, Datuk Wan Muhammad Khairil Anuar Wan Ahmad bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar.

Kerusi itu turut ditandingi oleh calon Pas, Khalil Idham Lim Abdullah.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada Selasa lalu mengadakan pertemuan dengan jentera pergerakan sayap itu di Kuala Kangsar dan menggesa mereka bekerja keras dua kali ganda untuk memastikan kemenangan calon BN di kawasan itu.

Dalam pilihan raya umum 2008, Datuk Seri Rafidah Aziz yang mewakili BN mengalahkan calon Pas, Dr. Khairuddin Abdul Malik dengan majoriti 1,458 undi.

Kuala Kangsar mempunyai 33,607 pengundi dengan majoriti Melayu 68 peratus diikuti pengundi Cina dan India masing-masing 28 dan 7 peratus.

Sementara itu dalam ucapannya, Najib turut membidas Pakatan Rakyat yang dilihat semakin bercelaruh apabila terlalu obses dan syok sendiri bermimpi mahu merampas Putrajaya.

Katanya, sifat sebenar parti di dalam pakatan pembangkang semakin terserlah menjelang pilihan raya umum ini.

''Mereka bergaduh dalam pelbagai hal, isu calon pun berbalah. Itu tidak kira berebut mahu kerusi di kawasan sama.

''Ini tidak berlaku dalam Barisan Nasional. Kita bincang dan tolak ansur dalam pemberian kerusi kerana ini soal hala tuju dan dasar negara negara,'' katanya.

Dalam pada itu, Najib meminta rakyat menolak pembangkang yang disifatkan akan jadi punca ketegangan jika berpeluang memerintah negara.

''Kita harus fikir sudah 55 tahun BN membina negara. Kita bukan mabuk kuasa tetapi mahu kepercayaan rakyat berdasar kelayakan.

''Kita tak mahu rakyat beri kuasa kerana kita minta kuasa tapi atas kebolehan mentadbir kerajaan selama ini,'' ujarnya.

Selain Kuala Kangsar, Najib hari ini singgah di Bagan Serai dan Hulu Kinta.