Rakyat Sabah, terutama di kawasan Parlimen Papar diseru keluar beramai-ramai mengundi dan menunaikan tanggungjawab untuk menentukan masa depan negara pada hari pengundian 5 Mei ini.

Ketika membuat seruan itu, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata rakyat yang telah mendaftar sebagai pemilih perlu menyedari, undi mereka amat penting.

Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) Papar berharap pengundi dapat membuat keputusan bijak dan memilih kerajaan yang mampu memberikan keselesaan, keamanan dan pembangunan untuk rakyat.

"Proses pengundian dan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) merupakan proses demokrasi yang menentukan hala tuju dan masa depan kita dan anak-anak kita.

"Oleh itu, saya merayu agar rakyat membuat keputusan untuk meletakkan jaminan kestabilan, keamanan, kesejahteraan dan persekiraran hidup yang harmoni dan selesa. Apa yang lebih penting ialah kesinambungan dan jaminan masa depan yang lebih baik dan meyakinkan kita semua," katanya.

Rosnah berkata demikian pada majlis penyampaian insentif pendidikan anak anggota Koperasi Pekerja-pekerja Kerajaan Sabah Berhad (Kopeks) yang memperoleh keputusan cemerlang bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), di Dewan Datuk Salleh Sulong, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Kopeks Datuk Maznah Abdul Ghani dan Ketua Pegawai Eksekutif Kopeks Buvil Angkui.

Mengenai insentif pendidikan tersebut, beliau memuji usaha Kopeks memperkenalkan program itu dilihat dapat menyuntik semangat dan motivasi anak anggota Kopeks untuk cemerlang dalam pelajaran.

Pemberian insentif itu merupakan antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kopeks yang dianjurkan buat pertama kali sejak 50 tahun ditubuhkan, katanya.

Selain melaksanakan program CSR, Kopeks juga merupakan penyumbang terbesar yuran koperasi di seluruh Sabah iaitu RM36 juta daripada jumlah keseluruhan RM38 juta.

Beliau turut berbangga atas pencapaian Kopeks yang berjaya memasuki Indeks 100 koperasi terbaik Malaysia dan menduduki tangga ke-49 daripada lebih 9,000 koperasi di seluruh negara.